KAPALTERBANG (Eupotorium odoratum Linn). Dikenali juga dengan nama Busuk-busuk. Tumbuhan ini mudah ditemui terutama di kawasan kampung, di tepi sungai, di ladang getah atau kelapa sawit malah ia juga tumbuh dengan subur di kawasan bukit changkat rendah. Herba berumpun ini berbau agak busuk dan panas. Ia sesuai ditanam di mana sahaja samada sebagai herba pasuan atau lanscape tetapi perlu penjagaan yang maksima kerana buahnya yang ringan mudah ditiup angin dan kawasan sekeliling akan menjadi semak. Dalam bidang perubatan tradisional, herba ini dikelaskan sebagai Antiseptik kerana ia berupaya membantu menghentikan pendarahan dan merawat luka baru atau lama. Malahan herba ini akan lebih mujarab jika dicampur bersama Kapur Sireh bagi merawat luka. Caranya amat mudah, hanya mengambil beberapa helai daun herba ini, dicuci bersih, dicampur Kapur Sireh, sedikit air bersih (sebaik-baiknya air tanpa Klorin) dan dihancurkan samada diupar pada tapak tangan atau digiling untuk mendapatkan patinya. Kemudian patinya yang berbuih itu disapu di tempat luka tersebut. Biarkan ia kering. InsyaAllah, paling lama luka tersebut akan baik dalam masa 3 hari. Herba ini juga digunakan untuk mengubati kanak-kanak kecacingan & kembung perut dengan patinya disapu pada perut. Ia juga agen pelawas kencing. Oleh kerana sifatnya yang panas, petani atau orang-orang kampung menggunakan tumbuhan ini untuk memeram pisang secara semulajadi. Pisang yang masak melalui proses pemeraman ini bebas dari kesan bahan kimia dan perkara ini adalah sesuatu yang telah dilupakan oleh kita dengan kehadiran bahan kimia yang menyingkatkan masa. Apa yang kita tidak tahu atau tidak pernah ambil tahu ialah hubungan herba dengan pisang tersebut, walaupun pada hakikatnya pisang tersebut masak kerana panas tetapi kemungkinan besar sedikit-sebanyak pati herba tersebut akan bercantum dengan apa yang ada di dalam buah pisang yang memungkinkan seseorang yang memakan pisang tersebut akan bertambah sihat. Allahualam....
SELAMAT DATANG DAN KEMBALI KEPADA ALAM SEMULAJADI
Saturday, July 23, 2011
Tuesday, June 14, 2011
Hempedu Bumi
Andrographis puniculata |
Mata Pelanduk
MATA PELANDUK (Ardisia crispa A.DC.). Dikenali juga dengan nama Mata Ayam. Tumbuhan berubat ini bersifat sederhana iaitu tidak sejuk dan tidak panas. Ia mudah ditemui di kebun getah, bukit rendah malah tanah pamah. Dalam formulasi pembuatan ubat tradisional spesies yang hidup di bukit-bukit rendah dan tanah pamah digunakan kerana ia mempunyai khasiat yang lebih. Buahnya yang masak berwarna merah dan rasanya sedikit manis manakala batangnya berwarna kelabu dengan akarnya berkulit merah tua. Warisan perubatan tradisional yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi mengatakan rebusan akarnya membantu membersihkan darah, mengubati batuk, merawat sakit telinga, demam, patah dan terseliuh. Akstrak tumbuhan berubat ini juga digunakan di dalam untuk merawat kelemumur dan gatal kulit kepala iaitu dengan cara mencampurkan dengan minyak kelapa dan pati bunga-bungaan. Khasiatnya yang teristimewa dalam akar tumbuhan berubat ini dikatakan mampu meneutralkan asik urik bagi pesakit ghout dan bengkak sendi. Kehadiran teknologi moden, akar tumbuhan ini boleh diakstrak untuk mendapatkan patinya bagi mengelakkan anda menelan kapsul. Biasanya ubat tradisional yang terdapat di dalam kapsul di pasaran mengandungi akar-akar kayu yang dimesinhalus dan mengikut kajian saintis German ke atas akar Tongkat Ali yang dimesinhalus bila ditelan hanya 90% sahaja yang dikeluarkan oleh badan manakala 10% lagi tinggal di dalam badan. Menyedari hakikat ini, maka adalah penting anda menggunakan cara lama (rebus) atau cara baru (akstrak).
Depu Pelanduk
DEPU PELANDUK (Wikstromia ridleyl). Tumbuhan berubat ini merupakan tumbuhan renek, bersifat panas dan mudah ditemui terutamanya di kebun getah, bukit bercangkat rendah dan lereng-lereng bukit. Foto ini diambil di dalam kebun getah di Simpang Salam, Rantau Panjang, Kelantan. Pokoknya menyerupai pokok Mata Ayam tetapi daunnya sedikit berkilat dengan buah yang berbeza. Buah yang masak berwarna merah seperti buah Mata Ayam dan menjadi tarikan kanak-kanak. Awas! buahnya tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun dan mengakibatkan kehilangan cecair badan dengan cepat. Dalam perubatan tradisional, tumbuhan berubat ini hanya daun dan akarnya sahaja digunakan. Nenek moyang kita dahulu sering menggunakan daunnya untuk membantu merawat masalah Sembelit. Manakala akarnya digunakan untuk tenaga batin iaitu salah satu ramuan dalam formulasi persediaan pembuatan ubat sakit urat.
Friday, June 3, 2011
Nota Warisan Etnobotani
Herba, Tumbuhan Berubat dan Penawar yang terdapat di negara kita, Malaysia sememangnya banyak. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh ahli botani sejak dahulu lagi terutamanya yang telah dikaji berdasarkan nama saintifik. Malahan tumbuhan ini juga merupakan koleksi turun-temurun para bidan kampung, tok bomoh dan pengamal perubatan. Jika sesuatu herba, tumbuhan berubat dan penawar telah dikaji, di belakang nama tumbuhan tersebut akan ada nama saintifiknya serta nama singkatan pengkajinya. Ramai ahli botani yang mengkaji tumbuhan di bumi kita, Malaysia amnya dan nusantara melayu khususnya yang telah dipendekkan nama dalam nama saintifik adalah bukan nama orang Melayu, India, Cina atau penduduk asal negara ini. Manakala tumbuhan yang berkhasiat dan mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi pula digolongkan sebagai satu nama iaitu HERBA. Hakikatnya herba hanyalah tumbuhan yang diistilahkan sebagai tumbuhan berbatang berair sahaja. Adakah Tongkat Ali dan seangkatan dengannya merupakan herba?, yang mana kita tahu ia berbatang keras dan mempunyai akar tunjang. Jika Kacip Fatimah, ia memang betul. Ini adalah kerana ia mempunyai batang berair. Maka melalui blog ‘warisanetnobotani’, saya dengan rasa rendah diri telah mengklasifikasikan tumbuhan ini berdasarkan kegunaannya kepada manusia dan haiwan mengikut garis panduan hubungan tumbuhan dengan manusia sejak dahulu lagi. Jika ianya menyalahi mana-mana peraturan atau kaedah yang digunapakai oleh mana-mana pertubuhan atau universiti, saya mengharapkan maklumbalas serta komen membina daripada pihak yang terlibat. Adalah tidak mustahil, suatu hari nanti kita akan dapat melihat para ahli botani atau penyelidik kita memaparkan nama singkatannya pada hujung nama saintifik tumbuhan baru yang dikaji. Masih banyak tumbuhan yang belum diselidik dan dikaji yang mempunyai khasiat dan bernilai tinggi untuk dikomersialkan. Sesetengah pihak telah menukar nama tumbuhan asal kepada nama baru apabila ingin dikomersilkan sebagai produk kesihatan. Ini bertujuan tiada siapa mengetahui formulasi yang telah digunapakai walaupun sesuatu produk itu telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Hanya yang kita tahu Kementerian Kesihatan telah melakukan ujian yang sepatutnya dan bakal produk tersebut tidak mempunyai bahan terlarang yang berbahaya kepada manusia. Produk kesihatan alternatif ini, biasanya akan menggunakan ayat: “ Jika penyakit berlarutan, dapatkan nasihat doktor” dan ada pula ayat ini digunapakai: “Pengambilan produk ini dilarang bagi wanita hamil”.
Pada asalnya tumbuhan ini merupakan tumbuhan rimba asli. Melalui daya tumpuan manusia pada masa dahulu telah menemukan binatang menggunakannya samada semasa melahirkan anak, luka pada badan, pengsan akibat berkelahi dan sebagainya. Maka manusia yang pada ketika itu yang tidak ada kemudahan rawatan, cuba menggunakannya sebagai bahan membantu dalam perubatan samada mencubanya dengan beberapa cara seperti mencium baunya, mengosok pada kulit atau lumat tampal, menjilat, mengunyah malahan menelannya. Apa yang saya tahu penelitian mereka hanyalah untuk mengetahui keracunan tumbuhan tersebut samada berbau kurang menyenangkan atau panas, ia gatal, pedih atau melecur pada kulit, merasanya samada pahit, tawar, manis atau masam, mengunyah dan mengemam lama di dalam mulut untuk mengetahui akibatnya bila ditelan dan sebelum menelan biasanya air kelapa muda akan disediakan berdekatan dengan tempat penelitian dilakukan. Jika kunyahan tadi ditelan dan mengambil sesuatu masa spt longgokan pasir halus yang jatuh ke bawah dari dua tempurung kelapa, perut tidak rasa apa-apa atau kepala tidak pening, maka tumbuhan tersebut telah melepasi tahap percubaan tetapi jika perut rasa memulas, kepala terasa pening atau jantung berdegup kenyang maka air kelapa akan diminum sebagai penawarnya.
Temu
TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrrhiza). Herba ini menyerupai pokok kunyit, daunnya besar, padat, lebar dan mempunyai jalur seakan-akan merah tua di tengah daun. Batangnya besar, isi berwarna kuning cerah dan rasa pahit. Habitat asal tumbuhan ini ialah di kawasan rimba asli yang mempunyai pokok2 balak yang di bawahnya kurang tumbuhan kecil, hidup berumpun di kawasan teduh dan lembab terutama di lereng-lereng bukit dan berhampiran sungai. Paling banyak yang ditemui dan hidup subur tidak jauh dari Sungai Kenarong iaitu ke utara Tasik Banding di Perak, Malaysia. Rizomnya dikatakan sedap dimakan sebagai ulam atau dibuat acar. Kini tumbuhan ini telah melalui transformasi kerana telah dijadikan tumbuhan pengenalan di taman-taman botani, taman herba persendirian malah patinya telah memasuki pasaran tempatan dan antarabangsa sebagai bahan kosmetik serta ubatan alternatif.
Curcuma xanthorrhiza |
Semua jenis temu merupakan Antiageing. Digunakan dalam perubatan tradisional untuk membantu merawat reumatoid, kesakitan otot, demam, batuk, masalah hati, demam kuning, batu karang, penyakit kulit, buang air berdarah, disentri, masalah sembelit, masalah keputihan, jangkitan pada vagina malahan ia juga membantu mengatasi buasir, kerengsaan rektum, menghilangkan kekejangan (nyetok - Kelantan) dan mengelakkannya dari berulang serta mengubati kanser (barah) pangkal rahim. Sementara itu, herba ini juga berkesan bagi membantu merawat kencing manis, gastrik (gas berlebihan) dan melancarkan penghadaman makanan (cara rawatannya 3-9gm rizom segar direbus sekejap dan makan setiap kali sebelum makan). Pada keseluruhannya herba ini membantu mengembalikan kecergasan tubuh badan.
Curcuma Zedoeria |
TEMU PUTIH/KUNYIT PUTIH (Curcuma zedoeria). Herba ini seperti juga pokok kunyit biasa tetapi mempunyai daun yang lebih nipis dan berjalur seakan-akan merah tua di tengah-tengah daun.Isinya pula berwarna putih dan mempunyai banyak rizom dan rasanya sedikit berangin. Rizom ini biasanya digunakan sebagai ulam mentah. Ia mempunyai dua spesies iaitu Didymocarpus crinita. Spesies ini tidak dapat dipaparkan di sini kerana belum dijumpai. Sesiapa yang mempunyai foto spesies ini dapatlah kiranya menghantar ke laman ini untuk dikongsi bersama. Terima kasih atas bantuan anda dan cetaklah nama anda sebagai pengirim. Perkongsian anda amatlah saya hargai....
Curcuma Mangga |
TEMU PAUH (Curcuma Mangga). Dikenali juga dengan nama TEMU MANGGA. Herba ini mempunyai daun yang panjang, lebar, sedikit tebal dan berjalur seakan-akan merah tua ditengah-tengah daun. Rizomnya rasa dan berbau seperti buah pauh/mangga serta digunakan sebagai ulam.
TEMU HITAM/BLUE GINGER - Herba ini mempunyai daun seperti kunyit, besar dan berjalur seakan-akan merah tua di tengah-tengah daun. Isinya pula berwarna biru tua dan rasanya pahit berangin, sementara baunya pula sedikit maung. Kegunaan dalam perubatan tradisional adalah bagi membantu merawat asma (lelah), batuk, bronkhitis, membuang angin dalam badan dan membantu melancarkan peredaran darah. Biasanya ia digunakan sebagai campuran dalam renehan sup bersama akar kacang tanah.
TEMU KUNCI (Kaempferia pandurata Ridl/Gastrochilus panduratum).
Thursday, June 2, 2011
Kari
KARI (Murraya koenigii). Tumbuhan berubat yang biasa ditanam di belakang rumah atau di dalam pasu terutamanya bagi masyarakat India di negara kita. Ia merupakan tonik dan rempah dalam masakan. Malah daunnya juga digunakan dalam makanan ringan. Mengandungi protein, lemak, karbohidrat, fiber, mineral dan vitamin spt kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C. Ia juga mengandungi minyak Volatile, sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin. Digunakan dalam perubatan tradisional untuk menguatkan perut, meningkatkan keupayaan dan mengatasi masalah penghadaman. Ia juga sebagai laksatif (julap) lemah bagi mengatasi masalah sembelit. Masalah loya dan pening (1 sudu teh jus daun kari + 1 sudu teh jus limau nipis = minum), penawar cirit-birit dan buasir (Jus daun kari + madu = minum). Rebusan kulit batang kering untuk Kencing Manis (diabetes). Amalkan makan 10 helai daun kari setiap hari selama 3 bulan dapat mencegah Kencing Manis (diabetes). Daunnya juga dapat mencegah uban, merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa (Daun + minyak kelapa = didih sampai hitam), merawat lebam dan bengkak (Lumatkan daun dan tampal).
Wednesday, June 1, 2011
Asam Jawa
Tamarindus indica Linn |
ASAM JAWA (Tamarindus indica Linn).
Bunga Asam Jawa |
Buah Asam Jawa |
Sunday, May 29, 2011
Larak
Larak |
LARAK (Fissistigma latifolium (DI) Merr). Tumbuhan berubat ini mempunyai banyak spesies. Antara spesies yang dikenalpasti terdiri daripada Larak Sepang, Larak Pisang, Larak Tepang, Larak Tepang Tunggal, Larak Jaga Anak, Larak Tahi Kucing, Larak Hitam, Larak Bebulu, Larak Sepil, Larak Tikus, Larak Salar dan Larak Salah. Larak ini pula ada yang menjalar dan ada yang berbentuk pokok. Tumbuh di tanah cangkat rendah, di tepi sungai, di kawasan belukar dan ada juga pokok larak tumbuh ditanah berpasir seperti tepi pantai. Gambar yang dipaparkan ini diambil berhampiran Radar Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Pengkalan Chepa pada 29/5/2011. Umumnya kegunaan tumbuhan berubat ini digunakan sebagai campuran ramuan wanita lepas bersalin seperti membantu mengecutkan peranakan, buang angin, elak meroyan dan demam. Semua jenis pokok Larak amnya boleh digunakan untuk membantu merawat demam. Larak Tepang digunakan untuk membantu merawat Uluran dan Stroke, Larak Tikus pula biasanya digunakan sebagai membantu melahirkan anak (ubat beranak). Bagi penyakit Stroke yang berlarutan pula biasanya digunakan Larak Salar. Satu spesies yang jarang dijumpai oleh orang biasa adalah Larak Salah. Orang yang memiliki akar Larak Salah dikira bertuah. Ia biasa ditemui oleh orang-orang yang bersih hatinya kerana kegunaannya dianggap mistik. Pejuang-pejuang tanahair suatu masa dulu pernah menggunakan Larak Salah untuk menyembunyikan diri dari malapetaka semasa pertempuran atau melakukan perisikan di kawasan musuh. Mengikut Tok Nye saya (yang umurnya belasan tahun semasa pertempuran Tok Janggut di Kelantan (Hj Mat Hassan) dan meninggal dunia di umur 126 tahun) pernah menceritakan, jika akar Larak Salah diletakkan di pintu reban ayam, maka ayam-ayam tersebut tidak akan menemui pintu masuk ke rebannya. Allahualam...
Buah Masak |
Friday, May 27, 2011
Daun Dewa
Gynura divaricata |
Khasiat : DAUN DEWA (Gynura divaricata). Dikenali juga dengan nama Penawar Cina. Herba ini kini ditanam sebagai tanaman pasuan untuk hiasan rumah. Daunnya biasa digunakan untuk penyakit kulit seperti flek hitam pada wajah. Cara penggunaannya sangat sederhana iaitu dengan mengambil daunnya yang mempunyai getah lalu getahnya disapu pada kawasan muka yang mempunyai flek hitam tersebut. Herba ini juga digunakan utk membantu mengubati kencing manis (diabetes) dan penyakit dalaman iaitu dengan cara meminum air rebusan daun tersebut yang sudah dikeringkan. Daun Dewa juga dapat digunakan sebagai ubat Ketuat/Kutill. Cara penggunaannya dgn memotong daun herba ini dan tampal pada Ketuat/kutil tersebut, kemudian balut dengan kain bersih. Begitu juga jika terjadi bengkak, gunakan daun dan isi dengan cara menggiling dan tampal ke tempat yang bengkak.
Pegaga
Hydrocotyle asiatica |
PEGAGA (Hydrocotyle asiatica). Herba ini mempunyai banyak spesies. Ini termasuklah Hydrocotyle sibthhorpiodes, Centella asiatica U, dan Centella asiatica (L) Crb. Dikenali di negeri China dengan nama Fo Ti dan di India dengan nama Gotu Kola. Merupakan agen penyejuk, Antikanser dan Antiageing. Herba ini banyak dikomersialkan di pasaran sebagai tonik darah dan minuman kesihatan malahan tidak kurang juga dijadikan sebagai bahan primer dalam pembuatan kosmetik dan ubat-ubatan. Kaya dengan zat protein. Digunakan secara tradisional bagi membantu mengelakan masalah kegemukan, selsema, demam kuning, penawar keracunan cendawan dan gigitan ular. Herba ini merupakan penawar semulajadi bagi alahan, ulser perut, kencing berdarah, batu karang, melawaskan kencing, menghalang kesan-kesan penuaan (antiageing) seperti hilang tona otot dan rambut, merangsang peredaran darah, merawat cirit-birit dan menurun tekanan darah tinggi. Kini herba ini diekstrak untuk mendapatkan patinya bagi Tonik kesihatan badan dan mengurangkan panas badan. Sementara itu, akar pegaga yang dihancurkan dijadikan minuman dan amat sesuai untuk wanita sebagai mengekalkan kesihatan wajah serta menghindarkan masalah kencing manis dan daunnya pula yang dilumat didemah untuk merawat sakit kulit di bawah kemaluan kanak-kanak (demah - daun pegaga yang telah dilumat diletak di atas batu yang panas dan dibungkus dengan kain bersih, kemudian dituang ke tempat berpenyakit).
Wednesday, May 25, 2011
Pecah Kaca
Strobilanthes crispus |
PECAH KACA (Strobilanthes crispus). Dikenali juga dengan nama Serbajadi (Kelantan, Msia), Pecah Beling, Jin Batu, Pecah Batu (Malaysia), Kecibeling, Kejibeling, Enyoh Kilo, (Indonesia). Herba ini mempunyai pasangannya dengan nama Saricocalix crispus. Herba ini merupakan agen diuretik. Berasal dari Madagascar sehingga Indonesia. Mengandungi Kalsium Karbonat dengan peratusan tinggi dan jika direbus dari yang telah dikeringkan, pati airnya bersifat alkali lemah. Mengikut kajian pakar, ekstrak tumbuhan ini mempunyai kompaun atau molekul yang mampu merencatkan pertumbuhan retrovirus (agen dalam jangkitan virus spt Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit - AIDS) dan mampu juga merencatkan pertumbuhan Sel Leukemia (Kanser/Barah Darah). Terdapat banyak kompaun yang diasingkan dan dikenalpasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik, asid vanilik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik. Dalam perubatan tradisional herba ini dikaitkan bagi membantu merawat masalah Kanser (Barah), Darah Tinggi (hypertension), Kencing Manis (Diabetes) dan Batu Karang.
Sumber:
Thomas Anderson (1832-1870)
Kajian Kusumoto dan rakan-rakan (1972)
Database APINMAP, Malaysia (UNESCO)
Lalang
Imperata cylindrica |
LALANG (Imperata cylindrica). Herba ini amat dikenali oleh semua orang. Ia merupakan tumbuhan perosak kepada tanaman terutamanya di kebun getah atau di kawasan tanaman kontan. Bunganya berwarna putih dan cantik dipandang apabila ditiup angin. Di Perak dan Kedah banyak terdapat di atas bukit bersama pokok buluh. Walaupun hakikat manusia mengetahui tumbuhan ini adalah perosak tanaman tetapi dalam dunia warisan etnobotani yang menghuraikan hubungan manusia dengan tumbuhan, herba ini merupakan herba semulajadi ciptaan Allah swt yang sememangnya digunakan oleh masyarakat melayu sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisi dan salah satu alat binaan rumah. Kini lalang telah membuka mata banyak pihak terutamanya dalam bidang lanscape iaitu bidang pembuatan atap rumah rehat di persekitaran rumah kediaman. Kegunaan dalam perubatan tradisional lalang memainkan peranan penting bagi membantu merawat penyakit asma (lelah), batu karang (pundi kencing), sakit perut, kencing manis (kerana akarnya mengandungi gula alami), demam dan tonik melawas kencing. Sementara abu dari pokoknya digunakan untuk sengal tulang (rheumatik). Kebiasaan cara penggunaan herba ini adalah menggunakan akarnya yang telah dikeringkan, direndam di dalam air panas dan dijadikan minuman seperti teh.
Teja
Teja Medang |
TEJA MEDANG (Cinnamomum inners). Teja mempunyai beberapa spesies. Ia termasuklah seperti Teja Lawang, Teja Lendir dan Teja Sarsi. Tumbuhan berubat ini boleh ditemui di hutan hujan kita di kawasan tanah pamah, lereng bukit atau di tepi sungai yang berbatu. Kegunaan Teja Medang untuk membersih darah, Teja Lendir dan Teja Sarsi sebagai campuran ubat sakit urat dan ubat bersalin bagi wanita. Teja Lendir juga digunakan oleh pengilang ubat nyamuk sebagai bahan lengai dalam pembuatan ubat nyamuk. Bagi Teja Lawang pula ia digunakan sebagai ramuan tenaga batin bersama Tongkat Ali, Tongkat Ali Hitam, Tongkat Ali Emas, Alek Tembaga, Alek Besi, Susuh Ayam Hutan, Ubi Jago dan lain-lain bahan. Sementara ramuan bagi wanita selepas bersalin pula Teja Lawang biasanya dicampur bersama Kemudu Bukit, Serapat Akar, Sesempit, Mata Pelanduk, Gajah Beranak, Kacip Fatimah Merah dan Bunga Pak Ma (Rafflesia)
Teja Lendir |
Duri Semalu
Mimosa pudica L. |
DURI SEMALU (Mimosa pudica L.). Herba ini mudah ditemui di kawasan kebun, padang atau di tepi sungai. Daunnya mudah dikenali kerana bila tersentuh daunnya akan kucup. Pokok herba ini dipercayai oleh masyarakat melayu dahulukala bagi melenakan tidur bayi. Ini bagi mengelakan bayi meragam (pokok herba ini diletak di bawah tikar atau alas tidur). Kegunaan dalam perubatan tradisi adalah merupakan salah-satu ramuan dalam pembuatan tonik. Daunnya pula digunakan untuk membantu mengubati bengkak (lumat dan tampal). Akarnya pula digunakan sebagai campuran dalam akar kayu bagi wanita lepas bersalin. Keistimewaan herba ini yang jarang manusia tahu adalah jika diakstrak mampu membantu masalah sengugut, menguat, mengecut, merapat, membersih saluran faraj yang diramu bersama buah manjakani dan daun sireh (sebagai pencuci alat kelamin wanita).
Getam Guri
Getam Guri |
GETAM GURI. Tumbuhan berubat ini mudah ditemui di kawasan kebun kelapa, tepi bendang, kebun pisang dan di tepi padang. Pokoknya boleh dijadikan bonsai atau tanaman hiasan kerana daunnya yang kecil, dahan mudah dilentur dan mempunyai bunga yang cantik berwarna kuning. Kegunaan dalam perubatan tradisional untuk membantu merawat sesak nafas atau dengan kata lain penyakit yang membawa angin ke bahagian atas badan seperti gastrik dan medu. Cara penggunaannya ialah dengan mengambil 2-4 pokok dan ambil akarnya. Akar yang dikeringkan boleh digunakan sebagai teh atau merebusnya dengan 6 gelas air dan biarkan baki air tinggal 2 gelas. Air rebusan ini diminum dan diamalkan.
Bunga Getam Guri |
Tuesday, May 24, 2011
Ulam Raja
Cosmos caudatus |
ULAM RAJA (Cosmos caudatus). Dikenali juga dengan nama
Beritang Berayun (Kelantan). Herba ini berasal daripada Amerika Latin tetapi tumbuh meliar dan mudah ditemui di Florida, Amerika Syarikat. Ia juga bukan lagi asing di negara kita, Malaysia kerana ditanam sebagai ulam, malahan kebanyakan restoran nasi ulam ada tumbuhan ini. Berdasarkan kajian ahli botani/pakar makanan, herba ini mengandungi 3% protein, 0.4% lemak, dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A. Ia juga mengandungi antioksida (AEAC) yang amat tinggi di kalangan jenis ulam. Setiap 100gm ulam raja segar berkeupayaan antioksida yang sama dengan 2,400mg L-asid askorbik. Antioksida utama yang dikenalpasti terkandung dalam herba ini melebihi 20 jenis. Bahan-bahan antioksida utama dikenalpasti disebabkan kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer melalui heksamer, kuersetin, glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik. Keupayaannya untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi. Herba ini digunakan secara tradisi sebagai ulam untuk memperbaiki peredaran darah, mencuci darah, menguatkan tulang, membantu mata sihat, antikanser terutama kanser kolon dan kanser payu dara (barah). Bahan di dalam herba ini mampu membunuh sel kanser. Malahan ulam raja juga, membantu pertahanan tubuh keseluruhannya. Bagi anda yang tercari-cari penawar bagi kesihatan tubuh, gunakanlah herba ini kerana penyakit yang muncul kini, banyak berpunca daripada perut yang setiap kali berlakunya metabolisma maka muncullah pengoksidaan terutamanya pada darah. Tekanan oksidatif bagai rantaian panjang yang tiada penghujungnya kerana ia tetap akan berlaku selagi manusia makan. Malahan makanan yang ada kini semakin kekurangan zat dan ditambah dengan perisa, pewarna, penstabil, perasa dan bahan-bahan aktif yg memungkinkan kita terkena penyakit-penyakit yang berisiko.
Bunga ulam raja |
Melur
Jasminum sambac, Ait. |
MELUR (Jasminum sambac, Ait.). Dikenali juga dengan nama Bunga Melati. Tumbuhan berubat yang ditanam sebagai pokok hiasan atau lanscape kerana bau bunganya yang wangi. Tumbuhan ini merupakan agen penyejuk. Kaya dengan bahan feromon (pewangi), eugenol, analgetik, anestetik, farnesol, jasmone, phytol. Kini tumbuhan ini ditanam secara ladang untuk mendapatkan minyak pati bunganya yang digunakan dalam pewangi atau aromaterapi. Digunakan secara tradisional untuk membantu merawat sakit kepala dan demam (bunga dan daunnya diramas di dalam air dan kemudian disapu ke kepala untuk mengecut saluran darah di kepala serta menurunkan panas badan). Pewangi (pati bunga) juga mempengaruhi aktiviti seksual. Sesak nafas (rebusan daun + garam = minum), bengkak sengatan (bunga dan daun lumat = tampal), imsonia (1-2 akar dihancurkan + air ditapis = minum), resdung (btgnya dipotong dan kemudian dikeringkan serta dijadikan rokok = hisap), menggalakkan pengeluaran susu ibu (sapu bunga pada payu dara) dan mencuci mata ( bunga + rizom cekur putih + kisar (blend) = minum). Bunganya juga boleh digunakan untuk penyakit lelah (asma) dengan cara meminum jus 5 kuntum bunganya.
Pulut-pulut
Urena lobata L. |
PULUT-PULUT (Urena lobata L.). Tumbuhan berubat ini mempunyai daun berbulu halus seakan-akan karpet. Ia mudah ditemui di kawasan belukar dan tepian sungai atau di tepi padang. Kegunaan biasa tumbuhan berubat ini, air rebusannya digunakan dalam pembuatan getah burung. Manakala dalam amalan perubatan tradisional, tumbuhan ini digunakan bagi membantu merawat penyakit najis berlendir (rebusan akar pokok dan daun (lumat) + sedikit garam = minum). Ia juga digunakan dalam campuran ubatan selepas bersalin.
Kacang Telang
Clitoria ternatea |
KACANG TELANG (Clitoria ternatea). Dikenali juga dengan nama pokok bunga Nasi Kerabu - Kelantan. Herba memanjat ini tidak sukar dicari. Ia biasanya dijumpai di pagar-pagar lama atau tepi belukar. Kini tumbuhan ini ditanam di kawasan rumah bagi memudahkan mengambil bunganya sebagai pewarna nasi kerabu. Daunnya rasa kelat. Dalam perubatan tradisional daun dan bunganya digunakan untuk melebat dan menghitamkan rambut, subur kulit kepala, sakit kepala (daun n bunga - balut dlm kain dan jadikan bantal tidur), ulser mulut (kunyah) dan imsonia (hancurkan dan balut di kepala). Malah masyarakat melayu di zaman dahulu percaya dengan melilit akarnya pada pinggang ibu mengandung boleh mengelakkan keguguran. Allahualam...
Inai
INAI (Lawsonia inermis). Inai berasal daripada perkataan arab 'Hina' yang membawa maksud ubat. Ia dibawa orang Mongolia ke India pada kurun ke 12, namun ada pihak lain mendakwa inai berasal dari India. Ahli arkeologi dalam kajiannya pula menemui bukti bahawa inai sudah digunakan orang Mesir dalam proses menghasilkan mumia apabila mendapati kuku jari dan kaki mumia yang mereka temui disapu sejenis pewarna merah dipercayai inai. Rahsia merah inai ialah daunnya mempunyai bahan pewarna glukosid dan asid henotanik. Asid ini menyebabkan kulit, kuku @ rambut yang disapu inai akan berwarna merah kerana pewarna yg ada dlm asid tersebut bergabung dengan kolagen pd sel kulit dan keratin pada kuku dan rambut. Pokok inai mempunyai nilai perubatan yang tinggi terutama pada daunnya. Berkurun lamanya inai digunakan bagi tujuan perubatan yang kegunaan utamanya adalah sebagai agen penyejuk. Daun inai digunakan utk mewarnakan tapak tangan, kuku dan kaki. Ia juga digunakan bagi menutup uban dan sebagai pewarna tekstil. Bagi kaum India, daun tumbuhan berubat ini digunakan sebagai ubat sapu pada kulit utk menyembuhkan penyakit bisul, sakit kulit, dan melepuh. Ia juga turut digunakan utk menyembuhkan sakit kepala dan rasa panas pada kaki. Daun inai yang ditumbuk lumat boleh menyembuhkan luka dan kudis pada sekeliling kuku (Penyakit Sebayan - Kelantan). Manakala rebusan air daun + daun inai kering yang dicincang halus utk memulihkan sakit perut. Serbuk daun inai digunakan utk menyembuhkan luka selepas berkhatan (bersunat), penyakit kulit dan sengal tulang. Malah sesiapa jua , apabila rambut mula gugur boleh mencuba menggunakan air rebusan daun inai yang dicampur biji sawi. Kaum India juga menggunakan air daun inai sebagai astrigen yang boleh mengecutkan tisu organik dan sekaligus membantu mengawal pendarahan berlebihan, malah amalan berkumur dengan daun inai juga membantu menyembuhkan sakit tekak. masyarakat Melayu pula menggamalkan meminum jus daun inai segar utk merawat masalah sakit tuan spt ejakulasi yang tidak terkawal. Manakala wanita yang bermasalah dengan haid berlebihan atau keputihan dikatakan mampu dirawat dengan menggunakan daun tumbuhan berubat ini. Kulit batang inai boleh merawat penyakit hati spt demam kuning, bengkak hati dan cirit-birit. Sakit kepala yang disebabkan cuaca panas boleh dirawat dengan menggunakan bunganya dicampur cuka dengan meletakkan di sekeliling kepala. Akarnya pula digunakan utk merawat bisul.
Sireh Air
Add caption |
SIREH AIR (Piperomia pellucida H.B dan K). Dikenali juga dengan nama Ketumpang Air. Herba ini mudah ditemui di kawasan persekitaran rumah. Ia tumbuh di tempat yang teduh dan lembab. Digunakan dalam perubatan tradisional bagi membantu merawat bengkak sendi, ghout, lenguh-lenguh dan menghilangkan sengal-sengal badan. Cara penggunaannya ialah mengambil keseluruhan pokok dan minum air rebusannya (2- 4 pokok).
Wednesday, May 18, 2011
Cekur
Kaempferia galanga Linn. |
CEKUR. Dikenali juga dengan nama Kencur di Indonesia. Herba ini mempunyai banyak spesies dan dibezakan berdasarkan rupa daun, jenis bunga dan warna isi. Kegunaan biasa bagi tumbuhan ini ialah sebagai ulam samada pucuk atau isi muda. Kegunaan cekur dalam perubatan tradisional berdasarkan spesies.
CEKUR PUTIH (Kaempferia galanga Linn). warna dan rupa daun hijau biasa. Bunganya berwarna putih dengan 4 kelopak serta isinya putih. Digunakan sebagai perisa dalam pembuatan tonik, kecutkan rahim, jamu senak perut, buang angin memanaskan badan, hilang daki, terseliuh, penghadaman, lancar haid, sakit sendi, wanita bersalin, melegakan batuk, mengurangkan bengkak, sakit gigi dan pecah lemak. Herba ini juga adalah salah-satu ramuan yang digunakan di dalam industri kecil bagi pengeluaran bedak sejuk yang bertujuan merawat jerawat, melembutkan kulit dan Antiageing (awet muda). Bahagian yang digunakan keseluruhan herba.
Kaempferia aniety Linn |
CEKUR PUTIH (Kaempferia aniety Linn), Warna daun hijau kehitaman, bunga 4 kelopak berwarna purple muda dan isinya putih. Kegunaannya lebihkurang cekur putih biasa.
Cekur Merah |
CEKUR MERAH (Kaempferia spp.), Warna daun dan pelepahnya merah tua. Rupa daunnya spt daun cekur biasa tp memanjang, isinya putih dan bunganya belum pernah kelihatan. Kegunaannya untuk wanita lepas bersalin, mencegah keguguran dan menghilangkan gatal tekak. Bahagian yang digunakan rizom dan isinya.
Cekur Batik/Perak |
CEKUR BATIK (Kaempferia spp.), dikenali juga dengan nama cekur perak. Rupa daunnya berbatik. Kegunaannya isinya untuk tenaga batin. CEKUR BUKIT (Kaempferia seaphochlamys). Gambar dan kegunaan akan disisipkan kemudian.
CEKUR MANIS BUKIT. Daun herba ini dan pelepahnya berwarna hijau biasa tetapi pokoknya bukan seperti cekur biasa, tumbuhan ini seperti pokok kunyit. Isinya berwarna putih kekuningan spt halia. Keseluruhan pokok rasa manis bila dimakan. Herba ini sukar ditemui dan hanya sekali saya menemuinya 2 tahun lepas di kawasan hutan Sg. Sam, jalanraya yang menghubungkan Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan. Gambar tidak dapat dipaparkan kerana tidak pernah dijumpai lagi selepas hari tersebut. Banyak bukit dan gunung diterokai tetapi masih tidak ditemui. Saya pernah bertanya kepada seorang Pegawai Perhutanan, beliau menyatakan ada tetapi sukar ditemui. Bagi saya ia menjadi suatu misteri, jika anda ada menanamnya atau menyimpan gambarnya, mohon dapat berkongsi dengan rakan-rakan lain di sini atau in box e-mail saya asanstride69@yahoo.com. Sumbangan anda amat dihargai.
Tuesday, May 17, 2011
Siak-siak
Dianella ensifolia (L) DC |
SIAK-SIAK (Dianella ensifolia (L) DC). Tumbuhan Herba ini mudah dan banyak ditemui di kebun getah dan di tanah changkat rendah. Daunnya menyerupai pokok herba Nyiur Puyuh. Kini herba ini ditanam sebagai pokok hiasan pasuan di rumah kerana buahnya yang cantik berwarna biru dan bunganya berwarna putih. Daun dan akarnya dilumatkan utk penyakit kulit, cacing dan sakit urat (ubat sapu). Abu akar dicampur minyak kelapa baik untuk merawat bisul, gatal, juandis, kudis dan herpes manakala akar dan rizomnya pula digunakan untuk membuat minyak wangi. Rizom dicampur nasi atau jagung atau makanan lain mampu menjadi racun organik utk membunuh tikus. Awas! pokok ini beracun. Jika digunakan sebagai ubat, campuran hanya sedikit sahaja. Sebelum menggunakan herba ini dapatkan nasihat pakar atau pengamal perubatan tradisional.
Bunga Tahi Ayam Busuk
Tagetes creeta Lin |
BUNGA TAHI AYAM BUSUK (Tagetes creeta Linn.). Tumbuhan berubat ini mudah dijumpai terutamanya di kawasan belukar atau di tepi-tepi sungai. Daunnya berbau busuk dan memiliki pelbagai warna yang menarik. Ia mempunyai beberapa spesies dan kini tumbuhan berubat ini dijadikan pokok hiasan lanscape dan byk ditanam di tepi jalan oleh pihak berkuasa tempatan. Spesies bunga yang berwarna merah ini spesies baru hasil kacukan semulajadi. Dalam perubatan tradisional ia banyak digunakan sebagai Antiseptik. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan luka, bisul dan Rheumatik (sengal tulang) manakala air rendaman bunganya untuk sakit sendi dengan menyapunya pada sendi.
Saturday, May 14, 2011
Mengkudu
Khasiat : MENGKUDU (Morinda citrifolia). Dikenali juga dengan nama Kemudu. Tumbuhan ini mempunyai banyak jenis, ia termasuklah Kemudu Bukit (Morinda eleptica), sejenis pokok menjalar dengan btgnya berwarna putih, Kemudu Payung (Morinda Umbrella), Kemudu Kg (buahnya kecil dan biasa ditemui di kampung, belukar dan tanah changkat rendah, Mengkudu Pantai dan lain-lain. Bahagian yang digunakan ialah buah, daun, batang dan akar. Kandungan bahan kimianya banyak, ini termasuklah yang biasa disebut spt xeronin, proxeronin, proxeronase, asid amino, mineral (mg, besi dan fosfat), ursolic asid (alkaloids, anthraquuinones, glycosides, caproic acid, caprilic acid, fatty acids dan alcohol), flavone, glycosides, flavonoids, glucose, purine dan Beta-sitosterol. Dalam perubatan tradisional, tumbuhan berubat ini membantu merawat Darah Tinggi, Sakit Kuning, Demam (masuk angin dan influenza), Batuk, Sakit Perut, Kembung Perut (kanak-kanak), Menghilangkan sisik pada kaki, Cacing remi/rambu, Selsema, Tongsel dan Batuk Kering. Malah sesetengah bidan kampung menggunakan akarnya untuk wanita lepas bersalin dengan cara merebusnya. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai ulam dengan mencelur daun mudanya, kerabu dengan memotong daunnya kecil-kecil, rebus dan digaul dengan bahan tertentu, buahnya yang masak dan yang masih keras pula, ada sesetengah orang menyukainya dan dimakan dengan garam.
Subscribe to:
Posts (Atom)