SELAMAT DATANG DAN KEMBALI KEPADA ALAM SEMULAJADI


Wednesday, May 25, 2011

Lalang

Imperata cylindrica

LALANG (Imperata cylindrica).  Herba ini amat dikenali oleh semua orang.  Ia merupakan tumbuhan perosak kepada tanaman terutamanya di kebun getah atau di kawasan tanaman kontan.  Bunganya berwarna putih dan cantik dipandang apabila ditiup angin.  Di Perak dan Kedah banyak terdapat di atas bukit bersama  pokok  buluh.  Walaupun hakikat manusia mengetahui tumbuhan ini adalah perosak tanaman tetapi dalam dunia warisan etnobotani yang menghuraikan hubungan manusia dengan tumbuhan, herba ini merupakan herba semulajadi ciptaan Allah swt yang sememangnya digunakan oleh masyarakat melayu sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisi dan salah satu alat binaan rumah.  Kini lalang telah membuka mata banyak pihak terutamanya dalam bidang lanscape iaitu bidang pembuatan atap rumah rehat di persekitaran rumah kediaman.  Kegunaan dalam perubatan tradisional lalang memainkan peranan penting bagi membantu merawat penyakit asma (lelah), batu karang (pundi kencing), sakit perut, kencing manis (kerana akarnya mengandungi gula alami), demam dan  tonik melawas kencing.  Sementara abu dari pokoknya digunakan untuk sengal tulang (rheumatik).  Kebiasaan cara penggunaan herba ini adalah menggunakan akarnya yang telah dikeringkan, direndam di dalam air panas dan dijadikan minuman seperti teh.

No comments: