Phaeomeria speciosa Koord |
Khasiat : BUNGA KANTAN (Phaeomeria speciosa Koord). Di negeri Kelantan ia dipanggil Bunga Gantang. Herba hidup semusim dan berasal dari Malaysia, biasanya ditanam di persekitaran rumah bagi kegunaan bunganya dan kini tumbuhan ini begitu berharga dan telah dijadikan ladang untuk bekalan tetap. Ia juga sesuai dijadikan pokok hiasan laman tetapi perlu selalu dijaga kerana ia boleh membiak dengan cepat dan menjadi semak. Tumbuhan ini mudah dibiakkan menggunakan rizomnya. Ianya memerlukan kawasan yang lembab dan teduh. Daunnya yang agak panjang dan juga rizom di dalam tanah manakala jambak bunganya besar dan mempunyai involuker braktea berwarna steril. Jambak bunganya juga mempunyai tangkai yang panjang dan terkeluar dari pangkal tunas daun menyebabkan ia kelihatan cantik dan unik. Biasanya jambak bunga kantan yang masih muda dan belum mengembang banyak dijual terutama di pasar-pasar di bandar besar dan merupakan perencah utama untuk membuat kuah laksa utara. Laksa dan kantan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ia juga digunakan sebagai ramuan dalam laksa Penang, kuah pencicah ikan bakar, kerabu bunga kantan bersama nenas, ramuan masakan asam pedas dan tomyam. Bunga Kantan juga sedap bila dicelur dan dicicah budu atau sambal belacan manakala umbut dalam batangnya juga boleh dijadikan ulam mentah atau dicelur. Bau bunga kantan yang harum dan unik menjadikan masakan lebih menyelerakan. Selain bunga kantan, buahnya juga boleh digunakan sebagai perasa makanan, malah di sesetengah tempat buah kantan yang telah ranum juga dimakan begitu saja. Di dalam perubatan tradisional Kantan digunakan dan berkhasiat untuk mengubati sakit telinga dan membersihkan luka. Sakit telinga boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan. Selepas merebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu dititikkan ke dalam telinga. Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair. Bagi mencuci luka di badan, air rebusan daun kantan yang masih suam digunakan dengan melumurkannya ke seluruh bahagian luka. Dikatakan buahnya yang masak boleh digunakan untuk membantu meningkatkan tenaga batin dengan cara merebus buahnya yang masak dan meminum air rebusannya dan pastikan bertanya kepada pakar atau pengamal perubatan tradisional terlebih dahulu sebelum meminumnya kerana tanpa sukatan yang betul badan anda akan terasa kepanasan dan mungkin menimbulkan masalah lain. Bagi suku kaum Mandailing pula, bunga kantan menjadi ramuan terpenting untuk masakan pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama serai racik, ikan bilis dan terung rembang.
No comments:
Post a Comment