SELAMAT DATANG DAN KEMBALI KEPADA ALAM SEMULAJADI


Sunday, May 29, 2011

Larak

Larak
LARAK (Fissistigma latifolium (DI) Merr)Tumbuhan berubat ini mempunyai banyak spesiesAntara spesies yang dikenalpasti terdiri daripada Larak Sepang, Larak Pisang, Larak Tepang, Larak Tepang Tunggal, Larak Jaga Anak, Larak Tahi Kucing, Larak Hitam, Larak Bebulu, Larak Sepil, Larak Tikus, Larak Salar dan Larak SalahLarak ini pula ada yang menjalar dan ada yang berbentuk pokok.  Tumbuh di tanah cangkat rendah, di tepi sungai, di kawasan belukar dan ada juga pokok larak tumbuh ditanah berpasir seperti tepi pantai.  Gambar yang dipaparkan ini diambil berhampiran Radar Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Pengkalan Chepa pada 29/5/2011.  Umumnya kegunaan tumbuhan berubat ini digunakan sebagai campuran ramuan wanita lepas bersalin seperti membantu mengecutkan peranakan, buang angin, elak meroyan dan demam.  Semua jenis pokok Larak amnya boleh digunakan untuk membantu merawat demam.  Larak Tepang digunakan untuk membantu merawat Uluran dan Stroke, Larak Tikus pula biasanya digunakan sebagai membantu melahirkan anak (ubat beranak).  Bagi penyakit Stroke yang berlarutan pula biasanya digunakan Larak Salar.  Satu spesies yang jarang dijumpai oleh orang biasa adalah Larak Salah.   Orang yang memiliki akar Larak Salah dikira bertuah.  Ia biasa ditemui oleh orang-orang yang bersih hatinya kerana kegunaannya dianggap mistik.  Pejuang-pejuang tanahair suatu masa dulu pernah menggunakan Larak Salah untuk menyembunyikan diri dari malapetaka semasa pertempuran atau melakukan perisikan di kawasan musuh.  Mengikut Tok Nye saya (yang umurnya belasan tahun semasa pertempuran Tok Janggut di Kelantan (Hj Mat Hassan) dan  meninggal dunia di umur 126 tahun) pernah menceritakan, jika akar Larak Salah diletakkan di pintu reban ayam, maka ayam-ayam tersebut tidak akan menemui pintu masuk ke rebannya.  Allahualam...
Buah Masak

Friday, May 27, 2011

Daun Dewa

 Gynura divaricata
Khasiat  :  DAUN DEWA (Gynura divaricata).  Dikenali juga dengan nama Penawar Cina.  Herba ini kini ditanam sebagai tanaman pasuan untuk hiasan rumah.  Daunnya biasa digunakan untuk penyakit kulit seperti flek hitam pada wajah.  Cara penggunaannya sangat sederhana iaitu dengan mengambil daunnya yang mempunyai getah lalu getahnya disapu pada kawasan muka yang mempunyai flek hitam tersebut. Herba ini juga digunakan utk membantu mengubati kencing manis (diabetes) dan penyakit dalaman iaitu dengan cara meminum air rebusan daun tersebut yang sudah dikeringkan.  Daun Dewa juga dapat digunakan sebagai ubat Ketuat/Kutill. Cara penggunaannya dgn memotong daun herba ini dan tampal pada Ketuat/kutil tersebut, kemudian balut dengan kain bersih. Begitu juga jika terjadi bengkak, gunakan daun dan isi dengan cara menggiling dan tampal ke tempat yang bengkak.

Pegaga

Hydrocotyle asiatica

PEGAGA (Hydrocotyle asiatica)Herba ini mempunyai banyak spesies.  Ini termasuklah Hydrocotyle sibthhorpiodes, Centella asiatica U, dan Centella asiatica (L) Crb.  Dikenali di negeri China dengan nama Fo Ti dan di India dengan nama Gotu Kola.  Merupakan agen penyejuk, Antikanser dan Antiageing.  Herba ini banyak dikomersialkan di pasaran sebagai tonik darah dan minuman kesihatan malahan tidak kurang juga dijadikan sebagai bahan primer dalam pembuatan kosmetik dan ubat-ubatanKaya dengan zat protein.  Digunakan secara tradisional bagi membantu mengelakan masalah kegemukan, selsema, demam kuning, penawar keracunan cendawan dan gigitan ular.  Herba ini merupakan penawar semulajadi bagi alahan, ulser perut, kencing berdarah, batu karang, melawaskan kencing, menghalang kesan-kesan penuaan (antiageing) seperti hilang tona otot dan rambut, merangsang peredaran darah, merawat cirit-birit dan menurun tekanan darah tinggi. Kini herba ini diekstrak untuk mendapatkan patinya bagi Tonik kesihatan badan dan mengurangkan panas badan.  Sementara itu, akar pegaga yang dihancurkan dijadikan minuman dan amat sesuai untuk wanita sebagai mengekalkan kesihatan wajah serta menghindarkan masalah kencing manis dan daunnya pula yang dilumat didemah untuk merawat sakit kulit di bawah kemaluan kanak-kanak (demah - daun pegaga yang telah dilumat diletak di atas batu yang panas dan dibungkus dengan kain bersih, kemudian dituang ke tempat berpenyakit).

Wednesday, May 25, 2011

Pecah Kaca

Strobilanthes crispus

PECAH KACA (Strobilanthes crispus).  Dikenali juga dengan nama Serbajadi (Kelantan, Msia), Pecah Beling, Jin Batu, Pecah Batu  (Malaysia), Kecibeling, Kejibeling, Enyoh Kilo,  (Indonesia).  Herba ini mempunyai pasangannya dengan nama Saricocalix crispus.  Herba ini merupakan agen diuretik.  Berasal dari Madagascar sehingga  Indonesia.  Mengandungi Kalsium Karbonat dengan peratusan tinggi dan jika direbus dari yang telah dikeringkan, pati airnya bersifat alkali lemah.  Mengikut kajian pakar, ekstrak tumbuhan ini mempunyai kompaun atau molekul yang mampu merencatkan pertumbuhan retrovirus (agen dalam jangkitan virus spt Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit - AIDS) dan mampu juga merencatkan pertumbuhan Sel Leukemia (Kanser/Barah Darah).  Terdapat banyak kompaun yang diasingkan dan dikenalpasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik, asid vanilik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik.  Dalam perubatan tradisional herba ini dikaitkan bagi membantu merawat masalah Kanser (Barah), Darah Tinggi (hypertension), Kencing Manis (Diabetes) dan Batu Karang.

Sumber:

Thomas Anderson (1832-1870)
Kajian Kusumoto dan rakan-rakan (1972)
Database APINMAP, Malaysia (UNESCO)

Lalang

Imperata cylindrica

LALANG (Imperata cylindrica).  Herba ini amat dikenali oleh semua orang.  Ia merupakan tumbuhan perosak kepada tanaman terutamanya di kebun getah atau di kawasan tanaman kontan.  Bunganya berwarna putih dan cantik dipandang apabila ditiup angin.  Di Perak dan Kedah banyak terdapat di atas bukit bersama  pokok  buluh.  Walaupun hakikat manusia mengetahui tumbuhan ini adalah perosak tanaman tetapi dalam dunia warisan etnobotani yang menghuraikan hubungan manusia dengan tumbuhan, herba ini merupakan herba semulajadi ciptaan Allah swt yang sememangnya digunakan oleh masyarakat melayu sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisi dan salah satu alat binaan rumah.  Kini lalang telah membuka mata banyak pihak terutamanya dalam bidang lanscape iaitu bidang pembuatan atap rumah rehat di persekitaran rumah kediaman.  Kegunaan dalam perubatan tradisional lalang memainkan peranan penting bagi membantu merawat penyakit asma (lelah), batu karang (pundi kencing), sakit perut, kencing manis (kerana akarnya mengandungi gula alami), demam dan  tonik melawas kencing.  Sementara abu dari pokoknya digunakan untuk sengal tulang (rheumatik).  Kebiasaan cara penggunaan herba ini adalah menggunakan akarnya yang telah dikeringkan, direndam di dalam air panas dan dijadikan minuman seperti teh.

Teja


Teja Medang
TEJA MEDANG (Cinnamomum inners).  Teja mempunyai beberapa spesies.  Ia termasuklah seperti Teja Lawang, Teja Lendir dan Teja Sarsi.  Tumbuhan berubat ini boleh ditemui di hutan hujan kita di kawasan tanah pamah, lereng bukit atau di tepi sungai yang berbatu.  Kegunaan Teja Medang untuk membersih darah, Teja Lendir dan Teja Sarsi sebagai campuran ubat sakit urat dan ubat bersalin bagi wanita.  Teja Lendir juga digunakan oleh pengilang ubat nyamuk sebagai bahan lengai dalam pembuatan ubat nyamuk.  Bagi Teja Lawang pula ia digunakan sebagai ramuan tenaga batin bersama Tongkat Ali, Tongkat Ali Hitam, Tongkat Ali Emas, Alek Tembaga, Alek Besi, Susuh Ayam Hutan, Ubi Jago dan lain-lain bahan.  Sementara ramuan bagi wanita selepas bersalin pula Teja Lawang biasanya dicampur bersama Kemudu Bukit, Serapat Akar, Sesempit, Mata Pelanduk, Gajah Beranak, Kacip Fatimah Merah dan Bunga Pak Ma (Rafflesia)


Teja Lendir

Duri Semalu


Mimosa pudica L.

DURI SEMALU (Mimosa pudica L.).  Herba ini mudah ditemui di kawasan kebun, padang atau di tepi sungai.  Daunnya mudah dikenali kerana bila tersentuh daunnya akan kucup.   Pokok herba ini dipercayai oleh masyarakat melayu dahulukala bagi melenakan tidur bayi.  Ini bagi mengelakan bayi meragam (pokok herba ini diletak di bawah tikar atau alas tidur).  Kegunaan dalam perubatan tradisi adalah merupakan salah-satu ramuan dalam pembuatan tonik.  Daunnya pula digunakan untuk membantu mengubati bengkak  (lumat dan tampal).  Akarnya pula digunakan sebagai campuran dalam akar kayu bagi wanita lepas bersalinKeistimewaan herba ini yang jarang manusia tahu adalah jika diakstrak mampu membantu masalah sengugut, menguat, mengecut, merapat, membersih saluran faraj yang diramu bersama buah manjakani dan daun sireh (sebagai pencuci alat kelamin wanita).

Getam Guri

Getam Guri

GETAM GURI.  Tumbuhan berubat ini mudah ditemui di kawasan kebun kelapa, tepi bendang, kebun pisang dan di tepi padang. Pokoknya boleh dijadikan bonsai atau tanaman hiasan kerana daunnya yang kecil, dahan mudah dilentur dan mempunyai bunga yang cantik berwarna kuning. Kegunaan dalam perubatan tradisional untuk membantu merawat sesak nafas atau dengan kata lain penyakit yang membawa angin ke bahagian atas badan seperti gastrik dan medu. Cara penggunaannya ialah dengan mengambil 2-4 pokok dan ambil akarnya.  Akar yang dikeringkan boleh digunakan sebagai teh atau merebusnya dengan 6 gelas air dan biarkan baki air tinggal 2 gelas.  Air rebusan ini diminum dan diamalkan.

Bunga Getam Guri

Tuesday, May 24, 2011

Ulam Raja


Cosmos caudatus
ULAM RAJA (Cosmos caudatus).  Dikenali juga dengan nama 
Beritang Berayun (Kelantan).  Herba ini berasal daripada Amerika Latin tetapi tumbuh meliar dan mudah ditemui di Florida, Amerika Syarikat.  Ia juga bukan lagi asing di negara kita, Malaysia kerana ditanam sebagai ulam, malahan kebanyakan restoran nasi ulam ada tumbuhan ini.  Berdasarkan kajian ahli botani/pakar makanan, herba ini mengandungi 3% protein, 0.4% lemak, dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.  Ia juga mengandungi antioksida (AEAC) yang amat tinggi di kalangan jenis ulam.  Setiap 100gm ulam raja segar berkeupayaan antioksida yang sama dengan 2,400mg L-asid askorbik.  Antioksida utama yang dikenalpasti terkandung dalam herba ini melebihi 20 jenis.  Bahan-bahan antioksida utama dikenalpasti disebabkan kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer melalui heksamer, kuersetin, glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik.  Keupayaannya untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi.  Herba ini digunakan  secara tradisi sebagai ulam untuk memperbaiki peredaran darah, mencuci darah, menguatkan tulang, membantu mata sihat, antikanser terutama kanser kolon dan kanser payu dara (barah).  Bahan di dalam herba ini mampu membunuh sel kanser.  Malahan ulam raja juga, membantu pertahanan tubuh keseluruhannya.  Bagi anda yang tercari-cari penawar bagi kesihatan tubuh, gunakanlah herba ini kerana penyakit yang muncul kini, banyak berpunca daripada perut yang setiap kali berlakunya metabolisma maka muncullah pengoksidaan terutamanya pada darah.  Tekanan oksidatif bagai rantaian panjang yang tiada penghujungnya kerana ia tetap akan berlaku selagi manusia makan.  Malahan makanan yang ada kini semakin kekurangan zat dan ditambah dengan perisa, pewarna, penstabil, perasa dan bahan-bahan aktif yg memungkinkan kita terkena penyakit-penyakit yang berisiko.
Bunga ulam raja

Melur

Jasminum sambac, Ait.
 MELUR (Jasminum sambac, Ait.).  Dikenali juga dengan nama  Bunga Melati.  Tumbuhan berubat yang ditanam sebagai pokok hiasan atau lanscape kerana bau bunganya yang wangi.  Tumbuhan ini merupakan agen penyejuk.  Kaya dengan bahan feromon (pewangi), eugenol, analgetik, anestetik, farnesol, jasmone, phytol.  Kini tumbuhan ini ditanam secara ladang untuk mendapatkan minyak pati bunganya yang digunakan dalam pewangi atau aromaterapi.  Digunakan secara tradisional untuk membantu merawat sakit kepala dan demam (bunga dan daunnya diramas di dalam air dan kemudian disapu ke kepala untuk mengecut saluran darah di kepala serta menurunkan panas badan).  Pewangi (pati bunga) juga mempengaruhi aktiviti seksual.  Sesak nafas (rebusan daun + garam = minum), bengkak sengatan (bunga dan daun lumat =  tampal), imsonia (1-2 akar dihancurkan + air ditapis = minum), resdung (btgnya dipotong dan kemudian dikeringkan serta dijadikan rokok = hisap), menggalakkan pengeluaran susu ibu (sapu bunga pada payu dara) dan mencuci mata ( bunga + rizom cekur putih + kisar (blend) = minum).  Bunganya juga boleh digunakan untuk penyakit lelah (asma) dengan cara meminum jus 5 kuntum bunganya.

Pulut-pulut

Urena lobata L.

PULUT-PULUT (Urena lobata L.).  Tumbuhan berubat ini mempunyai daun berbulu halus seakan-akan karpet.  Ia mudah ditemui di kawasan belukar dan tepian sungai atau di tepi padang.  Kegunaan biasa tumbuhan berubat ini, air rebusannya digunakan dalam pembuatan getah burung.  Manakala dalam amalan perubatan tradisional, tumbuhan ini digunakan bagi membantu merawat penyakit najis berlendir (rebusan akar pokok dan daun (lumat) + sedikit garam = minum).  Ia juga digunakan dalam campuran ubatan selepas bersalin.

Kacang Telang

Clitoria ternatea
KACANG TELANG (Clitoria ternatea).  Dikenali juga dengan nama pokok bunga Nasi Kerabu - Kelantan.  Herba memanjat ini tidak sukar dicari.  Ia biasanya dijumpai di pagar-pagar lama atau tepi belukar.  Kini tumbuhan ini ditanam di kawasan rumah bagi memudahkan mengambil bunganya sebagai pewarna nasi kerabu.  Daunnya rasa kelat.  Dalam perubatan tradisional daun dan bunganya digunakan untuk melebat dan menghitamkan rambut, subur kulit kepala, sakit kepala (daun n bunga - balut dlm kain dan jadikan bantal tidur), ulser mulut (kunyah) dan imsonia (hancurkan dan balut di kepala). Malah masyarakat melayu di zaman dahulu percaya dengan melilit akarnya pada pinggang ibu mengandung boleh mengelakkan keguguran.  Allahualam...

Inai

Lawsonia enermis
 INAI (Lawsonia inermis).  Inai berasal daripada perkataan arab 'Hina' yang membawa maksud ubat.  Ia dibawa orang Mongolia ke India pada kurun ke 12, namun ada pihak lain mendakwa inai berasal dari India.  Ahli arkeologi dalam kajiannya pula menemui bukti bahawa inai sudah digunakan orang Mesir dalam proses menghasilkan mumia apabila mendapati kuku jari dan kaki mumia yang mereka temui disapu sejenis pewarna merah dipercayai inai.  Rahsia merah inai ialah daunnya mempunyai bahan pewarna glukosid dan asid henotanik.  Asid ini menyebabkan kulit, kuku @ rambut yang disapu inai akan berwarna merah kerana pewarna  yg ada dlm asid tersebut bergabung dengan kolagen pd sel kulit dan keratin pada kuku dan rambut.  Pokok inai mempunyai nilai perubatan yang tinggi terutama pada daunnyaBerkurun lamanya inai digunakan bagi tujuan perubatan yang kegunaan utamanya adalah sebagai agen penyejuk.  Daun inai digunakan utk mewarnakan tapak tangan, kuku dan kaki.  Ia juga digunakan bagi menutup uban dan sebagai pewarna tekstil.  Bagi kaum India, daun tumbuhan berubat ini digunakan sebagai ubat sapu pada kulit utk menyembuhkan penyakit bisul, sakit kulit, dan melepuh.  Ia juga turut digunakan utk menyembuhkan sakit kepala dan rasa panas pada kaki.  Daun inai yang ditumbuk lumat boleh menyembuhkan luka dan kudis pada sekeliling kuku (Penyakit Sebayan - Kelantan).  Manakala rebusan air daun + daun inai kering yang dicincang halus utk memulihkan sakit perut.  Serbuk daun inai digunakan utk menyembuhkan luka selepas berkhatan (bersunat), penyakit kulit dan sengal tulang.  Malah sesiapa jua , apabila rambut mula gugur boleh mencuba menggunakan air rebusan daun inai yang dicampur biji sawi.  Kaum India juga menggunakan air daun inai sebagai astrigen yang boleh mengecutkan tisu organik dan sekaligus membantu mengawal pendarahan berlebihan, malah amalan berkumur dengan daun inai juga membantu menyembuhkan sakit tekak.  masyarakat Melayu pula menggamalkan meminum jus daun inai segar utk merawat masalah sakit tuan spt ejakulasi yang tidak terkawal.  Manakala wanita yang bermasalah dengan haid berlebihan atau keputihan dikatakan mampu dirawat dengan menggunakan daun tumbuhan berubat ini.  Kulit batang inai boleh merawat penyakit hati spt demam kuning, bengkak hati dan cirit-birit.  Sakit kepala yang disebabkan cuaca panas boleh dirawat dengan menggunakan bunganya dicampur cuka dengan meletakkan di sekeliling kepala.  Akarnya pula digunakan utk merawat bisul. 

Sireh Air

Add caption



SIREH AIR (Piperomia pellucida H.B dan K).  Dikenali juga dengan nama Ketumpang Air.  Herba ini mudah ditemui di kawasan persekitaran rumah.  Ia tumbuh di tempat yang teduh dan lembab.  Digunakan dalam perubatan tradisional bagi membantu merawat bengkak sendi, ghout, lenguh-lenguh  dan menghilangkan sengal-sengal badan.  Cara penggunaannya ialah mengambil keseluruhan pokok dan minum air rebusannya (2- 4 pokok).

Wednesday, May 18, 2011

Cekur

Kaempferia galanga Linn.
CEKURDikenali juga dengan nama Kencur di Indonesia.  Herba ini mempunyai banyak spesies dan dibezakan berdasarkan rupa daun, jenis bunga dan warna isi.  Kegunaan biasa bagi tumbuhan ini ialah sebagai ulam samada pucuk atau isi muda.  Kegunaan cekur dalam perubatan tradisional berdasarkan spesies.  

CEKUR PUTIH (Kaempferia galanga Linn). warna dan rupa daun hijau biasa. Bunganya berwarna putih dengan 4 kelopak serta isinya putih.  Digunakan sebagai perisa dalam pembuatan tonik, kecutkan rahim, jamu senak perut, buang angin memanaskan badan, hilang daki, terseliuh, penghadaman, lancar haid, sakit sendi, wanita bersalin, melegakan batuk, mengurangkan bengkak, sakit gigi dan pecah lemak.  Herba ini juga adalah salah-satu ramuan yang digunakan di dalam industri kecil bagi pengeluaran bedak sejuk yang bertujuan merawat jerawat, melembutkan kulit dan Antiageing (awet muda). Bahagian yang digunakan keseluruhan herba.  
Kaempferia aniety Linn

CEKUR PUTIH (Kaempferia aniety Linn), Warna daun hijau kehitaman, bunga 4 kelopak berwarna purple muda dan isinya putih.  Kegunaannya lebihkurang cekur putih biasa. 
Cekur Merah


CEKUR MERAH (Kaempferia spp.), Warna daun dan pelepahnya merah tua.  Rupa daunnya spt daun cekur biasa tp memanjang, isinya putih dan bunganya belum pernah kelihatan.  Kegunaannya untuk wanita lepas bersalin, mencegah keguguran dan menghilangkan gatal tekak.  Bahagian yang digunakan rizom dan isinya.   



Cekur Batik/Perak

CEKUR BATIK (Kaempferia spp.), dikenali juga dengan nama cekur perak.  Rupa daunnya berbatik.  Kegunaannya isinya untuk tenaga batin.  CEKUR BUKIT (Kaempferia seaphochlamys).  Gambar dan kegunaan akan disisipkan kemudian.  


CEKUR MANIS BUKIT. Daun herba ini dan pelepahnya berwarna hijau biasa tetapi pokoknya bukan seperti cekur biasa, tumbuhan ini seperti pokok kunyit.  Isinya berwarna putih kekuningan spt halia.  Keseluruhan pokok rasa manis bila dimakan. Herba ini sukar ditemui dan hanya sekali saya menemuinya 2 tahun lepas di kawasan hutan Sg. Sam, jalanraya yang menghubungkan Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan.  Gambar tidak dapat dipaparkan kerana tidak pernah dijumpai lagi selepas hari tersebut.  Banyak bukit dan gunung diterokai tetapi masih tidak ditemui.  Saya pernah bertanya kepada seorang Pegawai Perhutanan, beliau menyatakan ada tetapi sukar ditemui.  Bagi saya ia menjadi suatu misteri, jika anda ada menanamnya atau menyimpan gambarnya, mohon dapat berkongsi dengan rakan-rakan lain di sini atau in box e-mail saya asanstride69@yahoo.com.  Sumbangan anda amat dihargai.


Cekur Mas

Tuesday, May 17, 2011

Siak-siak

Dianella ensifolia (L) DC
SIAK-SIAK (Dianella ensifolia (L) DC).  Tumbuhan Herba ini mudah dan banyak ditemui di kebun getah dan di tanah changkat rendah.  Daunnya menyerupai pokok herba Nyiur Puyuh.  Kini herba ini ditanam sebagai pokok hiasan pasuan di rumah kerana buahnya yang cantik berwarna biru dan bunganya berwarna putih.   Daun dan akarnya dilumatkan utk penyakit kulit, cacing dan sakit urat (ubat sapu)Abu akar dicampur minyak kelapa baik untuk merawat bisul, gatal, juandis, kudis dan herpes manakala akar dan rizomnya pula digunakan untuk membuat minyak wangi.  Rizom dicampur nasi atau jagung atau makanan lain mampu menjadi racun organik utk membunuh tikus.  Awas! pokok ini beracun.  Jika digunakan sebagai ubat, campuran hanya sedikit sahaja. Sebelum menggunakan herba ini dapatkan nasihat pakar atau pengamal perubatan tradisional.

Bunga Tahi Ayam Busuk



Tagetes creeta Lin
BUNGA TAHI AYAM BUSUK (Tagetes creeta Linn.).  Tumbuhan berubat ini mudah dijumpai terutamanya di kawasan belukar atau di tepi-tepi sungai.  Daunnya berbau busuk dan memiliki pelbagai warna yang menarik.  Ia mempunyai beberapa spesies dan kini tumbuhan berubat ini dijadikan pokok hiasan lanscape dan byk ditanam di tepi jalan oleh pihak berkuasa tempatan.  Spesies bunga yang berwarna merah ini spesies baru hasil kacukan semulajadi.  Dalam perubatan tradisional ia banyak digunakan sebagai Antiseptik.  Daunnya digunakan untuk menyembuhkan luka, bisul dan Rheumatik (sengal tulang) manakala air rendaman bunganya untuk sakit sendi dengan menyapunya pada sendi.



Saturday, May 14, 2011

Mengkudu


Khasiat  :  MENGKUDU (Morinda citrifolia).  Dikenali juga dengan nama Kemudu.  Tumbuhan ini mempunyai banyak jenis, ia termasuklah Kemudu Bukit (Morinda eleptica), sejenis pokok menjalar dengan btgnya berwarna putih, Kemudu Payung (Morinda Umbrella), Kemudu Kg (buahnya kecil dan biasa ditemui di kampung, belukar dan tanah changkat rendah,  Mengkudu Pantai dan lain-lain.  Bahagian yang digunakan ialah buah, daun, batang dan akar.  Kandungan bahan kimianya banyak, ini termasuklah yang biasa disebut spt xeronin, proxeronin, proxeronase, asid amino, mineral (mg, besi dan fosfat), ursolic asid (alkaloids, anthraquuinones, glycosides, caproic acid, caprilic acid, fatty acids dan alcohol), flavone, glycosides, flavonoids, glucose, purine dan Beta-sitosterol.  Dalam perubatan tradisional, tumbuhan berubat ini membantu merawat Darah Tinggi, Sakit Kuning, Demam (masuk angin dan influenza), Batuk, Sakit Perut, Kembung Perut (kanak-kanak), Menghilangkan sisik pada kaki, Cacing remi/rambu, Selsema, Tongsel dan Batuk Kering.   Malah sesetengah bidan kampung menggunakan akarnya untuk wanita lepas bersalin dengan cara merebusnya. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai ulam dengan mencelur daun mudanya, kerabu dengan memotong daunnya kecil-kecil, rebus dan digaul dengan bahan tertentu, buahnya yang masak dan yang masih keras pula, ada sesetengah orang menyukainya dan dimakan dengan garam.

Warisan Etnobotani

Takrifan Warisan

Takrifan Warisan di sini ialah ilmu perubatan tradisional dan pengenalan tumbuhan yang ada hubungan dengan manusia dan haiwan yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi oleh para Bidan Kampung, Pengamal Perubatan Tradisonal, Tok Bomoh, Pakar Perubatan Alternatif dll.

Takrifan Etnobotani

Etnobotani ialah satu pengajian terhadap penggunaan tumbuh-tumbuhan asli dalam kebudayaan dan agama bagi sesuatu kaum. Para ahli etnobotani akan mengkaji cara penggunaan tumbuh-tumbuhan sama ada sebagai makanan, perlindungan atau rumah, perubatan, pakaian, pemburuan dan upacara agama. Etnobotani sebenarnya mempunyai asasnya dalam botani iaitu pengajian tentang tumbuhan. Botani sebaliknya pada asasnya adalah sebahagian daripada usaha untuk mencari tumbuhan yang dapat menentang penyakit. Perubatan dan botani selalunya mempunyai pertalian yang rapat. Kebanyakan ubat pada hari ini berasal daripada sumber tumbuh-tumbuhan. Farmakonogsi (pharmacognosy) ialah pengajian mengenai ubatan dan produk toksin daripada sumber tumbuhan semulajadi.

Etnobotani menjelang masa depan

Keperluan etnobotani pada masa depan sebagai satu bidang pengajian semakin meningkat. Bagaimanapun, ia masih menunjukkan ahli molekul biologi yang bekerja di makmal mendapat status dan pembiayaan yang lebih tinggi. Ahli etnobotani yang bekerja di hutan pula tidak menerima sokongan dan penghormatan yang setaraf kerana minat dalam bidang ini baru sahaja muncul. Jurnal saintifik dan masyarakat baru telah mula meneliti pengajian ahli etnobotani dengan mendalam seperti juga para saintis dan pembuat dasar dunia.  Isu-isu etnobotani telah meningkatkan tumpuan dan minat orang ramai serta syarikat-syarikat sedang mencari tumbuhan sebagai pendekatan baru kepada makanan, perubatan dan sumber tenaga.  Gambaran masa depan memberi harapan untuk para saintis yang berdedikasi dalam bidang penyelidikan yang menarik ini.

Kesimpulan

Saya bukan pakar botani atau yang dilatih dalam bidang ini.  Saya hanya seorang peminat hutan hujan tropika, herba, tumbuhan berubat dan penawar,  persekitaran alam yang bersih, asli, nyaman, harmoni dan tidak diganggu-gugat oleh pembangunan.  Saya mengetahui semua ini melalui tok nye dan atuk saya yang merupakan seorang tok bomoh yang banyak membantu orang yang memerlukan malah ada yang tidak diterima oleh hospital kerajaan lagi. Kebetulan kerjaya saya dulu masuk hutan dan tinggal di hutan selama 4-6 bulan.  Saya juga telah mencari dan mengenalpasti semula tumbuhan dan binatang yang telah diperturunkan serta mengaplikasikan terhadap diri saya dan rakan-rakan bagi kesegaran dan tenaga segera.  Di samping itu, saya juga byk menyimpan keratan akhbar, majalah dan sumber ubatan tradisional malah saya pernah mengambil sebahagian artikel simposium APINMAP yang Malaysia juga negara anggota di dalam tong sampah, yang mana artikel usang ini (warna kertas dah kelabu n tulisan masih guna mesin taip lama).  Blog ini diwujudkan adalah semata-mata utk berkongsi dengan orang ramai, peminat herba, tumbuhan berubat dan penawar serta mungkin dapat membantu pelajar atau ahli botani mengakses maklumat dengan mudah tanpa mengeluarkan sebarang modal.  Ramai orang-orang tua/tok bomoh/pengamal perubatan yang saya jumpai tidak memberi kerjasama dalam hal perubatan tradisional ini kerana dikatakan ia rahsia.  Kini maklumat etnobotani banyak terdapat dalam blog/halaman negara lain.  Semoga di Malaysia juga akan terkehadapan di segi pusat maklumat dan pangkalan data.  Harapan saya, semoga blog ini menjadi panduan dan komen  yang membina utk menempatkan tumbuhan; hutan hujan kita di tempat yang selayaknya dan para botani kita yang berada di hutan dihargai setimpalnya oleh kerajaan & swasta atas usaha mereka.

Petawali/Butrowali

Tinospora crispa
Khasiat:  PETAWALI/BUTROWALI/BATANG WALI (Tinospora crispa).  Dikenali juga dengan nama akar Seruntun dan merupakan herba yang dijual oleh orang-orang tua yang biasanya baru membuka hutan untuk penempatan.  Tumbuhan ini bersama akar-akar kayu lain dijadikan barang dagangan untuk pertukaran dengan makanan lain seperti beras.  Herba yang akarnya amat pahit ini tumbuh liar menjalar mempunyai batang berkerutu dan berdaun lebar, mudah ditemui dan tumbuh di merata-rata tempat spt di kawasan belukar dan di pagar-pagar.  Batangnya yang berkerutu adalah bahagian utama yang mengandungi khasiat. Dalam perubatan tradisional, ianya digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinggi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai Gonorea. Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing di kalangan kanak-kanak dengan cara potong akarnya, jemur sehingga kering dan rebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka. Hasil kajian saintifik mendapati herba ini mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria.  Selain dari itu ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan meningkatkan selera makan. Pikroretin yang terdapat di dalamnya pula dapat menurunkan suhu badan yg panas (mengubat demam). Di Filipina pula ia dijadilkan tonik untuk mengubat sakit jiwa atau tekanan mental.  Air rebusan Petawali juga dapat membantu  mengubat sakit pinggang dan sengal-sengal tulang dan batangnya yg kering boleh dicampurkan ke dalam minyak urut utk penyakit kulit.  Malah air rebusannya juga boleh digunakan untuk membasuh kudis-kudis setelah dicampur dengan sedikit belerang.  Bagaimanapun, daunnya pula digunakan untuk mengubat penyakit Sifilis.









Bunga Kantan

Phaeomeria speciosa Koord
Khasiat  :  BUNGA KANTAN (Phaeomeria speciosa Koord)Di negeri Kelantan ia dipanggil Bunga Gantang.  Herba hidup semusim dan berasal dari Malaysia, biasanya ditanam di persekitaran rumah bagi kegunaan bunganya dan kini tumbuhan ini begitu berharga dan telah dijadikan ladang untuk bekalan tetap.  Ia juga sesuai dijadikan pokok hiasan laman tetapi perlu selalu dijaga kerana ia boleh membiak dengan cepat dan menjadi semak.  Tumbuhan ini mudah dibiakkan menggunakan rizomnya.  Ianya memerlukan kawasan yang lembab dan teduh.  Daunnya yang agak panjang dan juga rizom di dalam tanah manakala jambak bunganya besar dan mempunyai involuker braktea berwarna steril. Jambak bunganya juga mempunyai tangkai yang panjang dan terkeluar dari pangkal tunas daun menyebabkan ia kelihatan cantik dan unik. Biasanya jambak bunga kantan yang masih muda dan belum mengembang banyak dijual terutama di pasar-pasar di bandar besar dan merupakan perencah utama untuk membuat kuah laksa utara. Laksa dan kantan sememangnya tidak dapat dipisahkan.  Ia juga digunakan sebagai ramuan dalam laksa Penang, kuah pencicah ikan bakar,  kerabu bunga kantan bersama nenas, ramuan masakan asam pedas dan tomyam.  Bunga Kantan juga sedap bila dicelur dan dicicah budu atau sambal belacan manakala umbut dalam batangnya juga boleh dijadikan ulam mentah atau dicelur.  Bau bunga kantan yang harum dan unik menjadikan masakan lebih menyelerakan.  Selain bunga kantan, buahnya juga boleh digunakan sebagai perasa makanan, malah di sesetengah tempat buah kantan yang telah ranum juga dimakan begitu saja.  Di dalam perubatan tradisional Kantan digunakan dan berkhasiat untuk mengubati sakit telinga dan membersihkan luka.  Sakit telinga boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan.  Selepas merebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu dititikkan ke dalam telinga.  Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair. Bagi mencuci luka di badan, air rebusan daun kantan yang masih suam digunakan dengan melumurkannya ke seluruh bahagian luka.  Dikatakan buahnya yang masak boleh digunakan untuk membantu meningkatkan tenaga batin dengan cara merebus buahnya yang masak dan meminum air rebusannya dan pastikan bertanya kepada pakar atau pengamal perubatan tradisional terlebih dahulu sebelum meminumnya kerana tanpa sukatan yang betul badan anda akan terasa kepanasan dan mungkin menimbulkan masalah lain.  Bagi suku kaum Mandailing pula, bunga kantan menjadi ramuan terpenting untuk masakan pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama serai racik, ikan bilis dan terung rembang.

Friday, May 6, 2011

Lemuni Hitam

Vitex trifolia
Khasiat :  LEMUNI HITAM (Vitex trifolia).  Tumbuhan ini merupakan pokok yang rendang dengan ketinggian satu hingga tiga meter. Daunnya jenis bercabang tiga dan ketika muda berwarna biru kehitaman dan apabila matang berwarna hijau dengan tulang daun berwarna biru kehitaman. Lemuni mempunyai bunga yang bersaiz kecil.  Di sebelah utara semenanjung, mereka menggunakan daun lemuni untuk membuat nasi kerabu.  Nasi yang dicampur daun lemuni, dikatakan sedap dan awet muda.  Pucuk mudanya biasa dibuat ulam dengan cara mencelurnya dan dicicah sambal belacan.  Analisis kimia menunjukkan ia mengandungi x-pinene, camphne, terpenyal-acetate dan diterpene alcohol.  Semua sebatian ini merupakan minyak pati atau resin yang memberikan aroma kepada tumbuhan ini.  Di kalangan masyarakat Melayu, daun lemuni boleh digunakan untuk mengubati penyakit Rheumatik.  Daunnya ditumbuk dengan kapur barus kemudian dipupuk pada tempat yang sakit. Air rebusan daun muda digunakan untuk mengubati muntah darah.   Air rendaman daun ini jika dijadikan air mandi dipercayai dapat memulihkan anggota-anggota badan yang lemah, terutama setelah sembuh dari sakit yang berlarutan.  Daunnya juga digunakan untuk mencuci rambut  (menghalau kutu dan mencegah kelemumur), mengubati kurap serta luka-luka di celah kaki. Minyak atau pati daun pula digunakan untuk membunuh jentik-jentik nyamuk manakala daun tua digunakan untuk sakit kepala, mata berair, galak pertumbuhan janggut, barah (kanser) payu dara dan wanita lepas bersalin.  Manakala biji lemuni pula boleh dijadikan ubat cacing. Keistimewaan daun tumbuhan ini boleh dijadikan Makjun Lelaki/Wanita dengan mencampurkan Daun Lemuni Hitam, Bawang Putih, Lada Hitam, Kunyit dan Nasi.  



Monday, May 2, 2011

Chemperai

Champereia griffihii


Khasiat  :  CHEMPERAI (Champereia griffihii).  Tumbuhan ini mudah ditemui samada di kebun getah, lereng-lereng bukit atau di bukit changkat rendah.  Pucuk dan buah muda biasanya disayur bersama Kulat Pusu (Cendawan) atau Ubi Stela (Keledek)Rasa sayuran akan manis seperti pucuk Cekur Manis.  Digunakan dalam perubatan tradisional untuk ulser mulut (daun lumat - kemam), mengembalikan tenaga anggota badan (kesegaran) dan sengal tulang.

Che Ok

Che Ok



Khasiat  :  CHE OK.  Tumbuhan memanjat ini senang dijumpai samada di kebun getah, belukar, lereng-lereng bukit atau di bukit changkat rendah.  Tumbuhan berubat ini adalah makanan haiwan hutan seperti Pelanduk, Kancil, Napuh atau haiwan peliharaan seperti Kambing dan Biri-biri.  Daun mudanya berwarna merah dan daun tua berwarna hijau berkilat.  Ia bersifat panas dan digunakan sebagai membantu mengubati penyakit uluran.

Sunday, May 1, 2011

Daun Mangkuk

Polyscias scutellaria


Khasiat  :  DAUN MANGKUK (Polyscias scutellaria).  Tumbuhan ini biasanya digunakan sebagai pokok pagaran atau hiasan.  Dalam perubatan tradisional daunnya digunakan untuk mengurangkan keguguran rambut dan akarnya pula digunakan untuk penyakit kulit seperti Badang (campuran bersama akar Petawali, akar Terung  Pagar dan daun Badang Hitam).

Aji Samat


Jackia onata
Khasiat  :  AJI SAMAT (Jackia onata)Tumbuhan ini mempunyai 2 spesies dan berbunga putih.  Biasa ditemui di kebun getah, bukit bertanah rendah atau lereng-lereng bukit. Perbezaan kedua-dua tumbuhan berubat ini hanyalah pada pokoknya sahaja, Aji Samat (Jackia onata) mempunyai batang berwarna putih, akar berwarna kuning sementara Aji Samat (betina) mempunyai batang berwarna putih bercula hitam dan sedikit keras, akar berwarna putih susu.  Pokoknya pula bila digoyang akan berbunyi mersik kerana batangnya yang keras.  Rasa air rebusan  Jackia onata sedikit kelat manakala Aji Samat (betina) sedikit pahit.  Digunakan secara tradisional untuk membantu meningkatkan tenaga batin lelaki dan ramuan dalam ubat sakit urat.  Akar tumbuhan ini juga, boleh digunakan  di dalam  masakan  spt sup, tomyam, sayur campur bagi meningkatkan tenaga dan kesihatan badan.  Biasanya orang-orang tua kita dulu menggunakan akar tumbuhan ini bersama Tongkat Ali, Tongkat Ali Hitam, Alek Besi, Alek Tembaga, Susuh Ayam Hutan, Ubi Jago, Mengkudu Bukit, Payung Ali, Sarsi, Medang Teja, Rempah Gunung, Teja Lawang dan sebagainya.

Gajah Beranak

Goniothalamus scortechinii King

Khasiat  :  GAJAH BERANAK (Goniothalamus scortechinii King).  Tumbuhan ini dikenali juga dengan nama Pelar.  Tumbuhan ini biasa ditemui di kawasan hutan tanah pamah.   Tumbuhan  ini mempunyai 2 spesies iaitu daun besar dan daun kecil.  Pokoknya tidak mempunyai dahan dan batangnya berwarna hitam.  Daunnya pula panjang, mengikut arwah atuk saya tumbuhan ini mendapat gelaran Gajah beranak kerana selepas Gajah betina melahirkan anak, ia akan memakan akar tumbuhan ini.    Biasanya ia diramu bersama pokok herba lain dan akar tumbuhan ini dimasukkan hanya 3 - 5 keping racikan kerana akarnya bersifat panas.  Keluarga Goniothalamus biasanya dijadikan penawar dalam perubatan tradisional.  Ia merupakan Penawar Sakit Puan.  Digunakan dalam perubatan tradisional sebagai campuran ramuan berahi perempuan dan wanita lepas bersalin (untuk mengecutkan peranakan).  Wanita mengandung TIDAK dibenarkan meminum air rebusan pokok ini.  Gambar di atas dirakam di kawasan hutan Bukit Cabang Tongkat, Machang, Kelantan.

Dukung Anak

Dukung Anak (Merah)
Khasiat  :  DUKUNG ANAK (Phylanthus niruri).  Tumbuhan ini mudah ditemui di tepi rumah kampung atau di tepi-tepi padang. Herba ini mempunyai 2 spesies iaitu spesies hijau dan merah.  Digunakan secara tradisional untuk kesuburan perempuan, Kencing Manis (spesies Hijau), pokok tinggi, Darah Tinggi (spesies Merah). pokok rendah, Cirit-birit, Hepatitis (lumatkan dan + susu kambing segar,) kudis, luka dan merawat infeksi saluran kencing. Keistimewaan herba ini adalah sebagai penawar racun.  Cara2 ianya digunakan, keseluruhan pokok direbus dan minum airnya.  Kini gula-gula herba ini telah dicipta kerana tumbuhan ini ada sepanjang tahun dan banyak kelebihannya.  
Dukung Anak (Hijau)