SELAMAT DATANG DAN KEMBALI KEPADA ALAM SEMULAJADI


Tuesday, June 14, 2011

Hempedu Bumi

Andrographis puniculata
HEMPEDU BUMI (Andrographis puniculata).  Dikenali juga dengan nama Akar Cerita. Herba pahit ini mudah ditemui di kawasan kediaman kerana biasanya ditanam dan diminati oleh ramai orang.  Ia merupakan herba TERBAIK Asia bagi penjagaan hati, hempedu dan imuniti badan melebihi Milk Thistle yang diwar-warkan.  Tumbuhan ini biasa diformulasikan bersama-sama tumbuhan lain oleh pembuat ubat dalam apa jua jenis produk.  Ia amat diperlukan oleh badan.  Untuk pengetahuan anda, herba ini mampu melawan serangan selsema yang tidak ada pada tumbuhan lain.  Digunakan turun-temurun dalam perubatan tradisional bagi membantu merawat penyakit hepatitis (hati) - rebusan beberapa helai daun, menurunkan tekanan darah tinggi kerana molekul kimianya merangsang bagi memecah molekul lemak yang terdapat di dalam saluran darah (rendam 5 helai daun dalam air panas), merawat kencing manis (diabetes), demam, merawat luka, merawat gigitan serangga (lumat dan tampal), imuniti badan, antioksida dan keseluruhannya membantu pertahanan badan melawan penyakit.  Bagi anda yang ingin mencuba herba ini disarankan mencampurkannya dengan beberapa pokok herba Dukung Anak kerana percampuran ini melengkapkan 100% bahan yang terkandung di dalam kedua-dua herba ini dan kedua-dua herba ini merupakan tumbuhan perubatan alternatif terbaik yang telah diakui berkesan oleh ramai pengguna.  Hempedu Bumi juga merupakan salah satu herba yang digunapakai dalam formulasi pembuatan ubat penyakit kulit.



Mata Pelanduk

MATA PELANDUK (Ardisia crispa A.DC.).  Dikenali juga dengan nama Mata Ayam.  Tumbuhan berubat ini bersifat sederhana iaitu tidak sejuk dan tidak panas.  Ia mudah ditemui di kebun getah, bukit rendah malah tanah pamah.  Dalam formulasi pembuatan ubat tradisional spesies yang hidup di bukit-bukit rendah dan tanah pamah digunakan kerana ia mempunyai khasiat yang lebih.  Buahnya yang masak berwarna merah dan rasanya sedikit manis manakala batangnya berwarna kelabu dengan akarnya berkulit merah tua.  Warisan perubatan tradisional yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi mengatakan rebusan akarnya membantu membersihkan darah, mengubati batuk, merawat sakit telinga, demam, patah dan terseliuh. Akstrak tumbuhan berubat ini juga digunakan di dalam untuk merawat kelemumur dan gatal kulit kepala iaitu dengan cara mencampurkan dengan minyak kelapa dan pati bunga-bungaan.  Khasiatnya yang teristimewa dalam akar tumbuhan berubat ini dikatakan mampu meneutralkan asik urik bagi pesakit ghout dan bengkak sendi. Kehadiran teknologi moden, akar tumbuhan ini boleh diakstrak untuk mendapatkan patinya bagi mengelakkan anda menelan kapsul.  Biasanya ubat tradisional yang terdapat di dalam kapsul di pasaran mengandungi akar-akar kayu yang dimesinhalus dan mengikut kajian saintis German ke atas akar Tongkat Ali yang dimesinhalus bila ditelan hanya 90% sahaja yang dikeluarkan oleh badan manakala 10% lagi tinggal di dalam badan.  Menyedari hakikat ini, maka adalah penting anda menggunakan cara lama (rebus) atau cara baru (akstrak).

Depu Pelanduk

DEPU PELANDUK (Wikstromia ridleyl).  Tumbuhan berubat ini merupakan tumbuhan renek, bersifat panas dan mudah ditemui terutamanya di kebun getah, bukit bercangkat rendah dan lereng-lereng bukit.  Foto ini diambil di dalam kebun getah di Simpang Salam, Rantau Panjang, Kelantan.  Pokoknya menyerupai pokok Mata Ayam tetapi daunnya sedikit berkilat dengan buah yang berbeza.  Buah yang masak berwarna merah seperti buah Mata Ayam dan menjadi tarikan kanak-kanak.  Awas! buahnya tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun dan mengakibatkan kehilangan cecair badan dengan cepat.  Dalam perubatan tradisional, tumbuhan berubat ini hanya daun dan akarnya sahaja digunakan.  Nenek moyang kita dahulu sering menggunakan daunnya untuk membantu merawat masalah Sembelit.  Manakala akarnya digunakan untuk tenaga batin iaitu salah satu ramuan dalam formulasi persediaan pembuatan ubat sakit urat.


Friday, June 3, 2011

Nota Warisan Etnobotani

Herba, Tumbuhan Berubat dan Penawar yang terdapat di negara kita, Malaysia sememangnya banyak.  Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh ahli botani sejak dahulu lagi terutamanya yang telah dikaji berdasarkan nama saintifik.  Malahan tumbuhan ini juga merupakan koleksi turun-temurun para bidan kampung, tok bomoh dan pengamal perubatan.  Jika sesuatu herba, tumbuhan berubat dan penawar telah dikaji, di belakang nama tumbuhan tersebut akan ada nama saintifiknya serta nama singkatan pengkajinya.  Ramai ahli botani yang mengkaji tumbuhan di bumi kita, Malaysia amnya dan nusantara melayu khususnya yang telah dipendekkan nama dalam nama saintifik adalah bukan nama orang Melayu, India, Cina atau penduduk asal negara ini.   Manakala tumbuhan yang berkhasiat dan mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi pula digolongkan sebagai satu nama iaitu HERBA.  Hakikatnya herba hanyalah tumbuhan yang diistilahkan sebagai tumbuhan berbatang berair sahaja.  Adakah Tongkat Ali dan seangkatan dengannya merupakan herba?, yang mana kita tahu ia berbatang keras dan mempunyai akar tunjang.  Jika Kacip Fatimah, ia memang  betul.  Ini adalah kerana ia mempunyai batang berair.  Maka melalui blog ‘warisanetnobotani’, saya dengan rasa rendah diri telah mengklasifikasikan tumbuhan ini berdasarkan kegunaannya kepada manusia dan haiwan mengikut garis panduan hubungan tumbuhan dengan manusia sejak dahulu lagi.  Jika ianya menyalahi mana-mana peraturan atau kaedah yang digunapakai oleh mana-mana pertubuhan atau universiti, saya mengharapkan maklumbalas serta komen membina daripada pihak yang terlibat.  Adalah tidak mustahil, suatu hari nanti kita akan dapat melihat para ahli botani atau penyelidik kita memaparkan nama singkatannya pada hujung nama saintifik tumbuhan baru yang dikaji.  Masih banyak tumbuhan yang belum diselidik dan dikaji yang mempunyai khasiat dan bernilai tinggi untuk dikomersialkan.  Sesetengah pihak telah menukar nama tumbuhan asal kepada nama baru apabila ingin dikomersilkan sebagai produk kesihatan.  Ini bertujuan tiada siapa mengetahui formulasi yang telah digunapakai walaupun sesuatu produk itu telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.  Hanya yang kita tahu Kementerian Kesihatan telah melakukan ujian yang sepatutnya dan bakal produk tersebut tidak mempunyai bahan terlarang yang berbahaya kepada manusia.  Produk kesihatan alternatif ini, biasanya akan menggunakan ayat: “ Jika penyakit berlarutan, dapatkan nasihat doktor” dan ada pula ayat ini digunapakai: “Pengambilan produk ini dilarang bagi wanita hamil”.   
Pada asalnya tumbuhan ini merupakan tumbuhan rimba asli.  Melalui daya tumpuan manusia pada masa dahulu telah menemukan binatang menggunakannya samada semasa melahirkan anak, luka pada badan, pengsan akibat berkelahi dan sebagainya. Maka manusia yang pada ketika itu yang tidak ada kemudahan rawatan, cuba menggunakannya sebagai bahan membantu dalam perubatan samada mencubanya dengan beberapa cara seperti mencium baunya, mengosok pada kulit atau lumat tampal, menjilat, mengunyah malahan menelannya.  Apa yang saya tahu penelitian mereka hanyalah untuk mengetahui keracunan tumbuhan tersebut samada berbau kurang menyenangkan atau panas, ia gatal, pedih atau melecur pada kulit, merasanya samada pahit, tawar, manis atau masam, mengunyah dan mengemam lama di dalam mulut untuk mengetahui akibatnya bila ditelan dan sebelum menelan biasanya air kelapa muda akan disediakan berdekatan dengan tempat penelitian dilakukan.  Jika kunyahan tadi ditelan dan mengambil sesuatu masa spt longgokan pasir halus yang jatuh ke bawah dari dua tempurung kelapa, perut tidak rasa apa-apa atau kepala tidak pening, maka tumbuhan tersebut telah melepasi tahap percubaan tetapi jika perut rasa memulas, kepala terasa pening atau jantung berdegup kenyang maka air kelapa akan diminum sebagai penawarnya. 

Temu

TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrrhiza).  Herba ini menyerupai pokok kunyit, daunnya besar, padat, lebar dan mempunyai jalur seakan-akan merah tua di tengah daun.  Batangnya besar, isi berwarna kuning cerah dan rasa pahit.  Habitat asal tumbuhan ini ialah di kawasan rimba asli yang mempunyai pokok2 balak yang di bawahnya kurang tumbuhan kecil, hidup berumpun di kawasan teduh dan lembab terutama di lereng-lereng bukit dan berhampiran sungai.  Paling banyak yang ditemui dan hidup subur  tidak jauh dari Sungai Kenarong iaitu ke utara Tasik Banding di Perak, Malaysia. Rizomnya dikatakan sedap dimakan sebagai ulam atau dibuat acar.   Kini tumbuhan ini telah melalui transformasi kerana telah dijadikan tumbuhan pengenalan di taman-taman botani, taman herba persendirian malah patinya telah memasuki pasaran tempatan dan antarabangsa sebagai bahan kosmetik serta ubatan alternatif.  
Curcuma xanthorrhiza
Semua jenis temu merupakan Antiageing.  Digunakan dalam perubatan tradisional untuk membantu merawat reumatoid, kesakitan otot, demam, batuk, masalah hati, demam kuning, batu karang, penyakit kulit, buang air berdarah, disentri, masalah sembelit, masalah keputihan, jangkitan pada vagina malahan ia juga membantu mengatasi buasir, kerengsaan rektum, menghilangkan kekejangan (nyetok - Kelantan) dan mengelakkannya dari berulang serta mengubati kanser (barah) pangkal rahim.  Sementara itu, herba ini  juga berkesan bagi membantu merawat kencing manis, gastrik (gas berlebihan) dan melancarkan penghadaman makanan (cara rawatannya 3-9gm rizom segar direbus sekejap dan makan setiap kali sebelum makan).  Pada keseluruhannya herba ini membantu mengembalikan kecergasan tubuh badan.

Curcuma Zedoeria
TEMU PUTIH/KUNYIT PUTIH (Curcuma zedoeria).  Herba ini seperti juga pokok kunyit biasa tetapi mempunyai daun yang lebih nipis dan berjalur seakan-akan merah tua di tengah-tengah daun.Isinya pula berwarna putih dan mempunyai banyak rizom dan rasanya sedikit berangin.  Rizom ini biasanya digunakan sebagai ulam mentah.  Ia mempunyai dua spesies iaitu Didymocarpus crinita.  Spesies ini tidak dapat dipaparkan di sini kerana belum dijumpai.  Sesiapa yang mempunyai foto spesies ini dapatlah kiranya menghantar ke laman ini untuk dikongsi bersama.  Terima kasih atas bantuan anda dan cetaklah nama anda sebagai pengirim.  Perkongsian anda amatlah saya hargai....
 
Curcuma Mangga
TEMU PAUH (Curcuma Mangga).  Dikenali juga dengan nama TEMU MANGGA.  Herba ini mempunyai daun yang panjang, lebar, sedikit tebal dan berjalur seakan-akan merah tua ditengah-tengah daun.  Rizomnya rasa dan berbau seperti buah pauh/mangga serta digunakan sebagai ulam.

TEMU HITAM/BLUE GINGER -  Herba ini mempunyai daun seperti kunyit, besar dan berjalur seakan-akan merah tua di tengah-tengah daun.  Isinya pula berwarna biru tua dan rasanya pahit berangin, sementara baunya pula sedikit maung.  Kegunaan dalam perubatan tradisional adalah bagi membantu merawat asma (lelah), batuk, bronkhitis, membuang angin dalam badan dan membantu melancarkan peredaran darah.  Biasanya ia digunakan sebagai campuran dalam renehan sup bersama akar kacang tanah.

TEMU KUNCI (Kaempferia pandurata Ridl/Gastrochilus panduratum). 





Ethno-botanic garden

Ethno-botanic garden

Thursday, June 2, 2011

Kari

Murraya koenigii
KARI (Murraya koenigii).  Tumbuhan berubat yang biasa ditanam di belakang rumah atau di dalam pasu terutamanya bagi masyarakat India di negara kita.  Ia merupakan tonik dan rempah dalam masakan.  Malah daunnya juga digunakan dalam makanan ringan.   Mengandungi protein, lemak, karbohidrat, fiber, mineral dan vitamin spt kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C.  Ia juga mengandungi minyak Volatile, sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin.  Digunakan dalam perubatan tradisional untuk menguatkan perut, meningkatkan keupayaan dan mengatasi masalah penghadamanIa juga sebagai laksatif (julap) lemah bagi mengatasi masalah sembelit.  Masalah loya dan pening (1 sudu teh jus daun kari + 1 sudu teh jus limau nipis = minum), penawar cirit-birit dan buasir (Jus daun kari + madu = minum).  Rebusan kulit batang kering untuk Kencing Manis (diabetes).  Amalkan makan 10 helai daun kari setiap hari selama 3 bulan dapat mencegah Kencing Manis (diabetes). Daunnya juga dapat mencegah uban, merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa (Daun + minyak kelapa = didih sampai hitam), merawat lebam dan bengkak (Lumatkan daun dan tampal).

Wednesday, June 1, 2011

Asam Jawa

Tamarindus indica Linn
ASAM JAWA (Tamarindus indica Linn).   

Bunga Asam Jawa
Dikenali juga dengan nama Celagi - Kelantan.  Pokok berkayu ini mudah ditemui di mana saja terutama di kampung-kampung di kawasan pantai.  Isi buahnya yang telah masak digunakan di dalam masakan, kuah pencicah, colek buah dan minuman kesihatan komersial.  Manakala teras kayunya yang berwarna kemerahan biasanya digunakan untuk membuat ulu kapak, ulu tukul, ulu parang, ulu badik dll.  Kegunaan dalam perubatan tradisional pula ialah bagi membantu sakit atau gatal tekak, batuk, asma (lelah), kencing manis (diabetes) dan demam dengan cara mengambil jus asam jawa + air kulit batangnya + gula batu = minum.  

Buah Asam Jawa
Jus asam jawa yang dicampur debu kacang hijau dan kangkung pula baik untuk menurunkan berat badan.  Air jus asam jawa juga digunakan untuk menurunkan panas badan dengan menyapunya pada dahi. (Ingatan: Jus pekat yang dijual di pasaran tidak elok digunakan untuk perubatan, gunakanlah jus yang asli). Sementara itu, terasnya yang berwarna merah kehitaman atau hitam adalah penawar yang mujarab kepada kegunaan perubatan tradisional.  Teras ini jika diakstrak ke bentuk debu yang larut di dalam air, mampu membantu penyakit yang disebutkan di atas tanpa menggunakan jus buahnya tetapi kini terasnya sukar ditemui kerana teras akan berlaku apabila pokoknya yang matang dan mengambil masa beratus tahun dan biasanya pokok yang mengandungi teras yang berwarna hitam, daun pokok tersebut akan mula berwarna kekuningan serta mati dengan secara semulajadi.