SELAMAT DATANG DAN KEMBALI KEPADA ALAM SEMULAJADI


Saturday, May 14, 2011

Warisan Etnobotani

Takrifan Warisan

Takrifan Warisan di sini ialah ilmu perubatan tradisional dan pengenalan tumbuhan yang ada hubungan dengan manusia dan haiwan yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi oleh para Bidan Kampung, Pengamal Perubatan Tradisonal, Tok Bomoh, Pakar Perubatan Alternatif dll.

Takrifan Etnobotani

Etnobotani ialah satu pengajian terhadap penggunaan tumbuh-tumbuhan asli dalam kebudayaan dan agama bagi sesuatu kaum. Para ahli etnobotani akan mengkaji cara penggunaan tumbuh-tumbuhan sama ada sebagai makanan, perlindungan atau rumah, perubatan, pakaian, pemburuan dan upacara agama. Etnobotani sebenarnya mempunyai asasnya dalam botani iaitu pengajian tentang tumbuhan. Botani sebaliknya pada asasnya adalah sebahagian daripada usaha untuk mencari tumbuhan yang dapat menentang penyakit. Perubatan dan botani selalunya mempunyai pertalian yang rapat. Kebanyakan ubat pada hari ini berasal daripada sumber tumbuh-tumbuhan. Farmakonogsi (pharmacognosy) ialah pengajian mengenai ubatan dan produk toksin daripada sumber tumbuhan semulajadi.

Etnobotani menjelang masa depan

Keperluan etnobotani pada masa depan sebagai satu bidang pengajian semakin meningkat. Bagaimanapun, ia masih menunjukkan ahli molekul biologi yang bekerja di makmal mendapat status dan pembiayaan yang lebih tinggi. Ahli etnobotani yang bekerja di hutan pula tidak menerima sokongan dan penghormatan yang setaraf kerana minat dalam bidang ini baru sahaja muncul. Jurnal saintifik dan masyarakat baru telah mula meneliti pengajian ahli etnobotani dengan mendalam seperti juga para saintis dan pembuat dasar dunia.  Isu-isu etnobotani telah meningkatkan tumpuan dan minat orang ramai serta syarikat-syarikat sedang mencari tumbuhan sebagai pendekatan baru kepada makanan, perubatan dan sumber tenaga.  Gambaran masa depan memberi harapan untuk para saintis yang berdedikasi dalam bidang penyelidikan yang menarik ini.

Kesimpulan

Saya bukan pakar botani atau yang dilatih dalam bidang ini.  Saya hanya seorang peminat hutan hujan tropika, herba, tumbuhan berubat dan penawar,  persekitaran alam yang bersih, asli, nyaman, harmoni dan tidak diganggu-gugat oleh pembangunan.  Saya mengetahui semua ini melalui tok nye dan atuk saya yang merupakan seorang tok bomoh yang banyak membantu orang yang memerlukan malah ada yang tidak diterima oleh hospital kerajaan lagi. Kebetulan kerjaya saya dulu masuk hutan dan tinggal di hutan selama 4-6 bulan.  Saya juga telah mencari dan mengenalpasti semula tumbuhan dan binatang yang telah diperturunkan serta mengaplikasikan terhadap diri saya dan rakan-rakan bagi kesegaran dan tenaga segera.  Di samping itu, saya juga byk menyimpan keratan akhbar, majalah dan sumber ubatan tradisional malah saya pernah mengambil sebahagian artikel simposium APINMAP yang Malaysia juga negara anggota di dalam tong sampah, yang mana artikel usang ini (warna kertas dah kelabu n tulisan masih guna mesin taip lama).  Blog ini diwujudkan adalah semata-mata utk berkongsi dengan orang ramai, peminat herba, tumbuhan berubat dan penawar serta mungkin dapat membantu pelajar atau ahli botani mengakses maklumat dengan mudah tanpa mengeluarkan sebarang modal.  Ramai orang-orang tua/tok bomoh/pengamal perubatan yang saya jumpai tidak memberi kerjasama dalam hal perubatan tradisional ini kerana dikatakan ia rahsia.  Kini maklumat etnobotani banyak terdapat dalam blog/halaman negara lain.  Semoga di Malaysia juga akan terkehadapan di segi pusat maklumat dan pangkalan data.  Harapan saya, semoga blog ini menjadi panduan dan komen  yang membina utk menempatkan tumbuhan; hutan hujan kita di tempat yang selayaknya dan para botani kita yang berada di hutan dihargai setimpalnya oleh kerajaan & swasta atas usaha mereka.

Petawali/Butrowali

Tinospora crispa
Khasiat:  PETAWALI/BUTROWALI/BATANG WALI (Tinospora crispa).  Dikenali juga dengan nama akar Seruntun dan merupakan herba yang dijual oleh orang-orang tua yang biasanya baru membuka hutan untuk penempatan.  Tumbuhan ini bersama akar-akar kayu lain dijadikan barang dagangan untuk pertukaran dengan makanan lain seperti beras.  Herba yang akarnya amat pahit ini tumbuh liar menjalar mempunyai batang berkerutu dan berdaun lebar, mudah ditemui dan tumbuh di merata-rata tempat spt di kawasan belukar dan di pagar-pagar.  Batangnya yang berkerutu adalah bahagian utama yang mengandungi khasiat. Dalam perubatan tradisional, ianya digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinggi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai Gonorea. Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing di kalangan kanak-kanak dengan cara potong akarnya, jemur sehingga kering dan rebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka. Hasil kajian saintifik mendapati herba ini mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria.  Selain dari itu ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan meningkatkan selera makan. Pikroretin yang terdapat di dalamnya pula dapat menurunkan suhu badan yg panas (mengubat demam). Di Filipina pula ia dijadilkan tonik untuk mengubat sakit jiwa atau tekanan mental.  Air rebusan Petawali juga dapat membantu  mengubat sakit pinggang dan sengal-sengal tulang dan batangnya yg kering boleh dicampurkan ke dalam minyak urut utk penyakit kulit.  Malah air rebusannya juga boleh digunakan untuk membasuh kudis-kudis setelah dicampur dengan sedikit belerang.  Bagaimanapun, daunnya pula digunakan untuk mengubat penyakit Sifilis.