KAPALTERBANG (Eupotorium odoratum Linn). Dikenali juga dengan nama Busuk-busuk. Tumbuhan ini mudah ditemui terutama di kawasan kampung, di tepi sungai, di ladang getah atau kelapa sawit malah ia juga tumbuh dengan subur di kawasan bukit changkat rendah. Herba berumpun ini berbau agak busuk dan panas. Ia sesuai ditanam di mana sahaja samada sebagai herba pasuan atau lanscape tetapi perlu penjagaan yang maksima kerana buahnya yang ringan mudah ditiup angin dan kawasan sekeliling akan menjadi semak. Dalam bidang perubatan tradisional, herba ini dikelaskan sebagai Antiseptik kerana ia berupaya membantu menghentikan pendarahan dan merawat luka baru atau lama. Malahan herba ini akan lebih mujarab jika dicampur bersama Kapur Sireh bagi merawat luka. Caranya amat mudah, hanya mengambil beberapa helai daun herba ini, dicuci bersih, dicampur Kapur Sireh, sedikit air bersih (sebaik-baiknya air tanpa Klorin) dan dihancurkan samada diupar pada tapak tangan atau digiling untuk mendapatkan patinya. Kemudian patinya yang berbuih itu disapu di tempat luka tersebut. Biarkan ia kering. InsyaAllah, paling lama luka tersebut akan baik dalam masa 3 hari. Herba ini juga digunakan untuk mengubati kanak-kanak kecacingan & kembung perut dengan patinya disapu pada perut. Ia juga agen pelawas kencing. Oleh kerana sifatnya yang panas, petani atau orang-orang kampung menggunakan tumbuhan ini untuk memeram pisang secara semulajadi. Pisang yang masak melalui proses pemeraman ini bebas dari kesan bahan kimia dan perkara ini adalah sesuatu yang telah dilupakan oleh kita dengan kehadiran bahan kimia yang menyingkatkan masa. Apa yang kita tidak tahu atau tidak pernah ambil tahu ialah hubungan herba dengan pisang tersebut, walaupun pada hakikatnya pisang tersebut masak kerana panas tetapi kemungkinan besar sedikit-sebanyak pati herba tersebut akan bercantum dengan apa yang ada di dalam buah pisang yang memungkinkan seseorang yang memakan pisang tersebut akan bertambah sihat. Allahualam....